Gadis 15 tahun hilang di Selangor, jumpa di Perak

SUNGAI BULOH - Selepas 10 hari hilang entah ke mana, seorang gadis berusia 15 tahun akhirnya ditemui dalam keadaan selamat dikurung di sebuah rumah di Taman Damai, Air Tawar, Perak pada Jumaat lalu.

Sebelum itu, mangsa yang berasal dari Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 9 pagi, 23 April lalu untuk ke kolejnya di Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang (gambar) berkata, khuatir dengan keselamatan remaja itu, keluarganya membuat laporan polis pada keesokan harinya di Balai Saujana Utama mengenai kehilangan mangsa.

"Beberapa hari selepas membuat laporan polis, bapa mangsa menerima satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta wang tebusan sebanyak RM10,000," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, siasatan polis kemudian membawa kepada penahanan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 28 tahun yang berada di dalam sebuah kereta di Hentian Rehat & Rawat Sungai Buloh, arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira pukul 11.30 malam Jumaat lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.