Estetika feminin JLuxe

BAJU kurung Javelle Luxe ini membawa sentimen feminin yang tinggi.


PEREKA fesyen tempatan, Jovian Mandagie baru-baru ini melancarkan koleksi JLuxe untuk butik dalam talian, Zalora Malaysia (Zalora). JLuxe merupakan rekaan baharu kepada koleksi sedia pakai pereka itu yang menampilkan nilai elegan dan eksklusif.

Setiap helaian JLuxe diintegrasi menawan bersama kombinasi warna kontra dan terang. Cetakan harimau bintang juga kelihatan pada beberapa rekaan sebagai cerminan gaya remaja dan segar buat si pemakai.

Tahun ini, Jovian menghasilkan 13 rekaan menerusi JLuxe. Antaranya, baju kurung moden, kurung peplum dan dres labuh.

Urban sederhana

Menepati cita rasa gaya wanita moden, JLuxe menghimpunkan elemen yang mewakili tenaga, elegan dan stail sopan tetapi masih memiliki kemewahan fesyen. Ia mendukung estetika feminin, sesuai untuk kelompok wanita yang dahagakan penampilan urban sederhana.

Penggunaan material seperti poli krep, Jacquard dan renda bersama perincian sulaman renda, manik kaca dan perhiasan halus menambah keanggunan dan seri kepada koleksi tersebut.

"Kami berbesar hati dapat menawarkan koleksi terkini daripada Jovian. Zalora sentiasa berusaha menyediakan fesyen high street secara langsung ke pintu rumah setiap rakyat Malaysia.

"Setakat ini, Jovian telah menjadi rakan kerjasama yang memberangsangkan bagi mencapai objektif ini," ujar Pengarah Urusan Zalora, Giulio Xiloyannis.

Fesyen high street boleh didefinisikan sebagai gaya yang tercipta hasil adunan jenama fesyen mewah dan fesyen jalanan. Ia kebiasaannya dijual pada harga sederhana.

Sebagai rekaan dalam kumpulan high street, JLuxe dipasarkan bermula pada harga RM420 sehingga RM480 sepasang. Ia boleh didapati semua pencinta fesyen Malaysia dan Brunei menerusi www.zalora.com.my.