Makan 12 biji kapsul sehari



MELANGKAH masuk ke studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, Adeline Tsen, pelakon Cina berwajah eksotik dan bertubuh langsing.

Bezanya, bekas atlet hoki dan bola jaring itu dulu dan kini jelas pada bentuk tubuh badannya yang sangat ramping.

Empat tahun lalu menerusi drama bersiri Hotel Mania, tubuh badan Adeline nampak berisi.

Namun, menerusi penampilannya dalam drama popular Bukan Kerana Aku Tak Cinta, tubuhnya tampil kurus dan seksi dari pandangan mata.

Bukan menjalani sebarang pembedahan atau rejim senaman ketat, rahsia kurus Adeline itu adalah berpunca daripada makanan kesihatan berasaskan buah beri.

Mengakui gembira dan teruja dengan tubuh badan sebegitu, kongsi Adeline, rakannya memperkenalkannya dengan sejenis tablet kesihatan berasaskan buah beri.

"Dulu saya selalu ke gimnasium tetapi selepas bersenam, badan jadi penat dan perut rasa lapar. Maka, saya makan dengan banyaknya. Jadi, berat badan saya tidak berkurangan walaupun ke gimnasium.

"Sebelum ini juga, saya mengalami masalah gastrik yang agak teruk. Mujur rakan memperkenalkan saya dengan satu tablet kesihatan yang berasaskan buah beri.

"Selepas mengamalkannya selama tiga bulan, berat badan saya turun sehingga 13 kilogram. Malah, masalah gastrik saya juga berkurangan," ungkapnya mengenai berat badannya yang mencecah 65 kilogram sebelum mengamalkan tablet tersebut.

Tidak terburu-buru mengambil tablet kesihatan itu, Adeline terlebih dahulu meminta pandangan doktor dan dia mendapat pelepasan untuk mengambil tablet itu sebanyak 12 biji setiap hari.

Tiada masalah menelan tablet sebanyak 12 biji sehari, lantun Adeline, rasa tablet itu manis dan ia dimakan dengan cara mengemam atau mengulum seperti gula-gula.

Mengulas lebih lanjut, kata Adeline, buah beri juga mempunyai banyak khasiat. Selain dapat membuang toksin dalam badan ia juga mengandungi kandungan gula yang rendah dan mampu mencegah penggunanya daripada penyakit kencing manis.

PELAKON jelita ini begitu berhati-hati dalam menjaga kesihatan tubuhnya.


Seksi

Impak daripada tubuh badan yang langsing, ada yang beranggapan Adeline kini semakin berani menggayakan pakaian seksi sehingga menampakkan susuk badannya.

Tidak menolak, Adeline mengakui suka mengenakan pakaian mengikut badan dan selesa menggayakan pakaian seperti itu.

Bagaimanapun, pakaian yang digayakan masih tidak terlalu menjolok mata.

"Namun, jika saya berpakaian biasapun orang tetap cakap saya seksi. Mungkin cara saya menggayakannya.

"Dulu, semasa saya masih menjadi model, ada jurugambar yang memberitahu, saya kelihatan seksi daripada raut wajah yang dimiliki. Mereka kata wajah saya eksotik dan menggoda," jelasnya sambil menguntum senyuman.

Bakal menerima ijazah perakaunan di majlis konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 11 Mei ini, Adeline juga berhasrat untuk menyambung pengajiannya dalam bidang lakonan pula di Akademi New York pada bulan Julai nanti.

Sedar namanya kini semakin dikenali menerusi watak Irene dalam Bukan Kerana Aku Tak Cinta, pelakon berketurunan Cina Kadazan itu mahu mengasah lagi bakat lakonannya untuk mengukuhkan namanya sebagai pelakon berbakat.

Bagaimanapun, sebelum ke sana ada beberapa buah drama dan filem akan diselesaikan Adeline terlebih dahulu.

"Ada yang cakap kenapa hendak sambung belajar ketika tawaran datang tak putus-putus tetapi saya mahu pertingkatkan lagi mutu lakonan saya. Namun begitu, sebelum ke New York, saya akan selesaikan beberapa penggambaran drama dan filem.

"Hujung bulan Mei ini saya akan ke Istanbul, Turki selama dua minggu untuk menjalani penggambaran drama slot Akasia, TV3 yang berjudul Rindu Awak 200 Peratus di samping Zul Ariffin dan Aida Jebat. Drama itu akan disiarkan pada bulan Ramadan tahun ini," ceritanya.

ADELINE kini popular dengan drama bersiri, Kerana Aku Tak Cinta.


Dipukul Nabila Huda

Menyambung bicara, Adeline juga teruja kerana berpeluang berlakon di samping pelakon idamannya iaitu Nabila Huda dalam filem terbitan Pencil Pictures Sdn. Bhd.

Mengakui seorang yang penakut untuk menonton cerita-cerita seram, namun Adeline terpaksa menonton cerita genre tersebut sebagai rujukan untuk watak terbaharunya dalam filem itu.

"Dalam filem itu Nabila bawa watak perempuan psiko yang membunuh ramai orang termasuk kawan baiknya sendiri iaitu saya. Sebelum saya dibunuh, Nabila memukul saya sehingga lebam dan parah," kongsinya mengenai filem berjudul Gamatisme itu.

Tidak kisah dipukul oleh Nabila, Adeline mengakui momentum lakonan anak kepada legenda rock Amy Search itu kuat dan mampu diserap olehnya ketika berlakon.

"Selalunya jika kita berlakon di samping pelakon yang bagus, kita dapat serap energi lakonannya dan turut dapat beri lakonan yang bagus," katanya lagi.

Sering membawa watak antagonis dalam dramanya sebelum ini, Adeline mengakui takut dibenci orang. Malah, akuinya lagi, dia pernah dipanggil kucing siam kerana watak antagonis yang dibawanya menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

"Pada mulanya saya agak risau dengan maklum balas orang ramai melalui watak Irene yang saya bawa dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

"Ramai yang memanggil saya kucing siam kerana lakonan jahat dan menggoda dalam drama itu. Namun, akhirnya saya rasa berbaloi membawa watak Irene kerana watak itulah membuatkan nama saya naik dan dikenali ramai," jelasnya.