Pekap bela kebajikan anak-anak Pahang

ANTARA matlamat penubuhan Pekap ialah menjaga kebajikan anak-anak Pahang di Lembah Klang.


ANAK-ANAK kelahiran Pahang Darul Makmur yang tinggal di ibu kota cukup bertuah kerana mempunyai sebuah keluarga yang menjaga kebajikan mereka di sana. Keluarga dimaksudkan ialah Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang Di Ibu Kota (Pekap).

Berstatus sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pekap yang ditubuhkan 48 tahun lalu menjadi platform membentuk jaringan persahabatan dan silaturahim antara masyarakat kelahiran negeri Pahang di Lembah Klang termasuklah di Putrajaya dan Shah Alam.

Persatuan yang dinaungi Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah itu tidak pernah berhenti menjalankan pelbagai program dalam memastikan kebajikan ahli-ahlinya.

Pekap turut dianggotai nama besar kelahiran Pahang antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Penasihat. Turut merupakan ahli persatuan seumur hidup ialah penyanyi No. 1 tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

“Pekap mengambil berat kebajikan ahli-ahlinya selain menyediakan pelbagai ganjaran dan kemudahan kepada mereka termasuk ahli keluarga,” ujar Naib Pengerusi Pekap, Datuk Mustaffa Mat Yassin.

Jelas beliau, Pekap ketika ini mempunyai keahlian seramai 3,080 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

Katanya, sejak ditubuhkan pada tahun 1966, Pekap terus komited menyediakan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan kepada anak kelahiran negeri itu yang merantau ke ibu kota agar kehidupan mereka terbela.

“Antaranya, khairat kematian sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 selain sumbangan RM300 sekali setahun jika ada ahli-ahli yang dimasukkan ke wad.

“Ganjaran wang tunai turut diberi untuk anak-anak cemerlang dalam pendidikan, sagu hati kepada ahli yang ingin menunaikan haji serta bantuan bencana alam mengikut jumlah tertentu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Inisiatif yang diperkenalkan itu bukan sekadar untuk menjaga kebajikan, tetapi membentuk sebuah kumpulan teras yang baik serta mempunyai sikap kenegerian yang positif.

Ahli baharu

Dalam pada itu, Mustaffa memberitahu, Pekap sedang giat mengemaskini maklumat ahli-ahlinya bagi tujuan memudahkan urusan perhubungan seperti hebahan program yang dirancang.

Jelas beliau, ada dalam kalangan ahli-ahli Pekap yang telah bertukar alamat, manakala waris pula boleh mengemas kini maklumat bagi pihak ahli yang telah meninggal dunia.

Ahli-ahli dan waris boleh berhubung terus ke pejabat Pekap di Setiawangsa, Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan tersebut.

Mustaffa berkata, Pekap turut mengalu-alukan anak-anak Pahang di ibu kota agar berdaftar sebagai ahli Pekap untuk mengambil peluang melibatkan diri dalam pelbagai program yang dianjurkan.

“Kita tidak mempunyai data berapa ramai anak Pahang yang berada di ibu kota, namun pintu Pekap sentiasa terbuka kepada ahli-ahli baharu tanpa mengira latar belakang.

“Pendaftaran boleh dibuat di pejabat Pekap. Penyertaan lebih ramai anak-anak Pahang di ibu kota pasti menyemarakkan lagi ukhwah sekali gus mengukuhkan lagi fungsi Pekap,” ujar beliau.