Suami sanggup bunuh isteri untuk dapatkan AS$1 juta dipenjara seumur hidup di AS




MIAMI Seorang lelaki di Florida Selatan, Michel Escoto (gambar) dihukum penjara seumur hidup pada Rabu lalu selepas dia membunuh isterinya selepas mereka berkahwin selama empat hari.

Seorang hakim di sebuah mahkamah di daerah Miami-Dade menghukum, Escoto yang berumur 42 tahun selepas juri membuat keputusan dia bersalah pada bulan lalu.

Escoto membunuh isterinya bagi memperoleh wang insurans nyawa yang bernilai AS1 juta (RM3.22 juta).

Dia berkahwin dengan Wendy Trapaga yang berusia 21 tahun sebelum dia mencekik dan memukulnya sehingga mati pada Oktober 2002.

Pada awalnya, Escoto mahu membunuh isterinya itu dengan menggunakan dadah semasa mereka berbulan madu di Key West, Florida dengan menjadikan kematiannya disebabkan lemas.

Dia gagal melakukan perbuatan itu kerana isterinya mengadu tidak suka dengan rasa minuman yang dicampurkan dengan dadah.

Justeru, Escoto cuba melemaskan isterinya di dalam sebuah jakuzi di Motel Lapangan Terbang Eksekutif, Miami.

Namun, dia gagal untuk memujuk isterinya berada di dalam air bagi tempoh yang lama.

Escoto kemudian memukul isterinya sehingga mati dengan menggunakan alat untuk menanggalkan skru tayar kereta. AP