Ikon Siarawan 2 cari hos versatil



MELIHAT kepada raut wajah 12 finalis yang terpilih melalui proses uji bakat program Ikon Siarawan musim kedua yang melibatkan kira-kira 2,043 individu sejak tiga bulan lalu sudah cukup untuk menggambarkan kesungguhan mereka untuk bergelar orang penting dalam industri penyiaran tanah air.

Keyakinan dan bakat menjadi modal utama semua 12 finalis untuk bergelar Ikon Siarawan 2 yang tentunya menjanjikan masa depan yang cerah dalam bidang media, sekali gus menjadi tulang belakang pemacu pembangunan negara.

Pelbagai lapangan media dalam bidang pengacaraan termasuk juruhebah radio, pembaca berita dan wartawan lokasi dieksploitasi dengan sebaik mungkin dalam melahirkan sebuah pengacara yang serba boleh.

Finalis juga diuji dengan pelbagai cabaran sama ada daripada segi teori dan praktikal dalam memastikan finalis mempunyai ketrampilan yang tinggi dan betul-betul layak untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang pengacara yang disegani.

“Idea ini merupakan salah satu perubahan atau revolusi yang dilakukan dalam memastikan RTM masih lagi relevan pada masa kini, pencarian bakat baharu ini juga bertindak mengubah persepsi orang ramai mengenai RTM yang dikatakan sudah lapuk dan tidak relevan.

“Ikon Siarawan kali ini juga bertujuan melahirkan bakat-bakat baharu yang segar dan mampu membawa perubahan dalam bidang pengacaraan dan ia sekali gus bertindak sebagai aset kepada pihak RTM pada masa akan datang,” ujar penerbit program Ikon Siarawan 2, Ain Sabrina On.


BARISAN 12 peserta yang bersaing dalam relanggang Ikon Siarawan 2.


Berbeza

Menurut Ain, proses penapisan pada peringkat pertama memakan masa tiga bulan memandangkan sambutan yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan.

“Pihak produksi mengambil masa hampir tiga bulan untuk menyenarai-pendek 12 orang finalis daripada 2,043 yang hadir pada uji bakat peringkat pertama.

Proses pemilihan agak panjang disebabkan kami bukan memilih kuantiti tetapi lebih kepada kualiti.

“Proses saringan sememangnya memakan masa yang lama kerana kami perlu menilai bukan sahaja daripada fizikal seseorang itu malah daripada segi ketrampilan, gaya dan bakat yang ada.

“Alhamdulillah, setelah melalui beberapa proses saringan akhirnya kami memperolehi finalis yang dilihat sangat berpotensi dan berbakat dalam bidang pengacaraan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran Ikon Siarawan 2 di Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercakap mengenai cabaran yang akan dilalui oleh para finalis, Ain berkata, sepanjang tiga bulan akan datang para finalis akan diuji dengan pelbagai kemahiran teori dan lapangan untuk memastikan mereka bersedia sebagai seorang pengacara.

Tambah menarik, bagi mendapat gambaran sebenar cabaran dunia kewartawanan, finalis turut berpeluang bertemu dengan tokoh-tokoh terkemuka negara dan ditugaskan bersama enam agensi kerajaan.

“Musim kali ini sangat berbeza dengan musim sebelumnya kerana kami mendapat kerjasama daripada enam agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBDPM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pendedahan ini dirangka bagi memastikan finalis dapat bertindak sebagai jurucakap kepada organisasi tersebut dan merasai pengalaman sebenar berkhidmat sebagai salah seorang penjawat awam,” katanya.

Menurut Ain lagi, pelbagai tugasan yang akan menanti para finalis dan hal ini bagi memastikan kesemua mereka bersedia sebaik mungkin dan tahu apa yang harus dilakukan sebaik sahaja menceburi bidang penyiaran kelak.

“Kita akan memastikan para finalis akan mendapat tunjuk ajar oleh barisan tutor yang diundang khas.

“Mereka juga akan diberi pendedahan mengenai bidang kewartawanan penyiaran dengan membiarkan mereka untuk melakukan laporan sebenar daripada acara yang berlangsung termasuk perlumbaan udara ekstrem yang akan diadakan di Putrajaya pada bulan Mei ini.

“Tugasan secara langsung dan tidak dirancang juga merupakan salah satu cabaran yang menanti para finalis dengan kerjasama bilik berita TV RTM.

“Sementara, laporan terbaik dan mempunyai nilai berita yang tinggi akan disiarkan dalam siaran berita sebagai pendedahan sebenar,” katanya yang pernah menjadi penerbit program Anugerah Seri Angkasa.


PROGRAM Ikon Siarawan 2 bukan sekadar mengajar teori buat peserta tetapi juga gambaran sebenar cabaran dunia kewartawanan.


Penjurian dan penyingkiran

Menyentuh tentang aspek penjurian dan penyingkiran sepanjang program tersebut berlangsung, ujar Ain, Ikon Siarawan 2 tidak menggunakan medium undian secara khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti program realiti TV sedia ada.

“Penjurian akan dilakukan menggunakan khidmat juri profesional sepenuhnya yang terdiri dalam kalangan tokoh-tokoh wartawan, ahli akademik dan personaliti tersohor.

“Proses penyingkiran pula akan bergantung sepenuhnya kepada juri profesional tersebut dan tidak semestinya setiap minggu ada penyingkiran yang akan berlaku,” ujarnya

Tambahnya: “Adalah menjadi harapan agar program ini meraih sambutan yang memberangsangkan terutamanya kepada golongan belia sekali gus mampu menaikkan lagi imej RTM.”

Ikon Siarawan 2 menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 untuk juara, naib juara RM50,000, tempat ketiga sebanyak RM30,000 manakala sagu hati tempat keempat dan kelima pula masing-masing memperolehi wang tunai RM5,000.

Program tersebut akan berlangsung bermula pada 3 Mei lalu, pukul 9 hingga 10.30 malam dan disiarkan melalui saluran TV2.

Serap ilmu

Bagi salah seorang finalis Ikon Siarawan 2, Khaviarasan Muniandy, 24, dia sejak awal lagi telah menanam cita-cita untuk bergelar seorang pembaca berita. Minat yang mendalam terhadap penulisan dan penyampaian berita kepada umum merupakan entusiasisnya sejak kecil.

“Saya akan berusaha untuk mengumpul sebanyak mungkin pengalaman sepanjang tiga bulan program ini berlangsung. Saya harap program ini mampu untuk menjadi batu loncatan kepada saya untuk terus berjaya dalam bidang ini,” katanya yang kini menguasai tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.

Tambah Khaviarasan, buat masa sekarang, dia mampu menyerap segala ilmu yang diberikan walaupun baru seminggu menjadi sebahagian daripada program tersebut.

“Ia tidak menjadi masalah besar kepada saya disebabkan sejak di universiti lagi saya telah mula berkecimpung dalam bidang pengacaraan dan saya juga belajar dalam bidang teknologi media melalui penghususan penyiaran,” ujarnya yang merupakan satu-satunya finalis berbangsa India.

Diminta berkongsi mengenai persediaannya untuk menjadi salah seorang Ikon Siarawan 2, katanya, dia kini cuba untuk menentukan sepenuh perhatian terhadap ilmu yang ditaburkan kepadanya.

“Saya biasanya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada kelas yang telah diadakan hal ini kerana, ia bukan sahaja memerlukan persiapan daripada segi fizikal malah daripada segi mental juga perlu diperkuatkan untuk bergelar seorang pengacara yang serba boleh,” ujarnya.

Seorang lagi finalis, Mohd. Faris Izzat Shaharudin, 24, memberitahu, pengalaman dan latar belakang pendidikan yang bukan berasaskan daripada bidang komunikasi massa merupakan cabaran baharu buat dirinya.

Dia yang merasakan masalah tersebut bukan halangan baginya untuk berjaya berkata, apa yang penting ialah keinginan yang tinggi untuk belajar sesuatu yang baharu.

“Pada mulanya, saya tidak merasakan bidang ini merupakan minat saya namun setelah mula berjinak-jinak sejak zaman persekolahan lagi timbul rasa minat untuk bercakap di khalayak. Minat itulah yang saya rasakan menjadi pendorong kepada saya untuk terus berkecimpung dalam dunia yang penuh glamor ini,” ujar pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.