Najib ucap takziah kepada keluarga Puan Sri Janaky

10/05/2014 8:12pm

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pejuang kemerdekaan negara, Puan Sri Janaky Athi Nahappan, yang meninggal dunia akibat penumonia di kediamannya di sini, semalam.

“Sumbangan Puan Sri Janaky Athi Nahappan akan dikenang terutamanya sebagai anggota pengasas MIC,” kata Najib dalam entri Twitter beliau hari ini.

Janaky, bekas senator dan antara pengasas MIC, meninggalkan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan, lapan cucu serta seorang cicit.

Mendiang berusia 89 tahun.

Semasa hayatnya, mendiang menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam negara dan antarabangsa.

Pada 2000, mendiang menjadi wanita keturunan India pertama berasal dari luar India untuk menerima anugerah tertinggi negara berkenaan iaitu Padma Shri daripada Presiden India sebagai mengiktiraf kerja kebajikan dan sumbangannya kepada Tentera Nasional India (INA). - Bernama