Polis tidak tolak unsur khianat kes kebakaran di PPR Intan Baiduri

10/05/2014 8:27pm

KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan wujudnya perbuatan khianat dalam kejadian kebakaran di Blok E, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Jinjang di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, polis masih menjalankan siasatan dengan bantuan Unit Forensik Pasukan Polis Diraja Malaysia serta pasukan bomba dan penyelamat.

"Polis masih belum dapat mengenal pasti bahan api yang digunakan,”katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Hasil siasatan awal, beliau berkata polis mendapati 21 motosikal pelbagai jenis dan jenama serta sebuah kereta Proton Iswara Aeroback yang diletakkan di kawasan itu hangus terbakar.

"Identiti suspek serta motif kejadian belum dapat diketahui, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan ,” katanya.

Komander Operasi Kanan Pasukan Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Rodzlan Othman berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.33 pagi tadi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran di kawasan garaj motorsikal berkenaan dalam tempoh 10 minit,” katanya. - Bernama