Misi penjajahan Pita Hati

KUMPULAN Pita Hati (dari kiri) Zahar, Yasin, Ilham, Masrin dan Hidayat.


NAMA Pita Hati itu simbolik kepada perjuangan suara hati mereka. Lama menunggu, dua tahun setelah menzahirkan sebuah EP pada tahun 2012, kini sebuah pita lengkap tentang hati dan ideologi lima kepala anak muda itu juga sudahpun dilancarkan secara rasminya untuk mengisi pendengaran peminat muzik.

Tanpa mendengar keseluruhan isi bunyi, matlamat pemberian judul Fonetik Anak Candal kepada album pertama yang akan membawa jenama mereka itu mudah ditebak. Diksi yang hanya ditemui dalam pengajian bahasa Melayu itu terpampang kemas pada kulit album pertama mereka. Diksi itu membayangkan sebuah hasil yang mengandungi citra sastera tinggi yang sedang menunggu untuk dinilai menerusi lirik dalam melodi mereka.

"Kami main muzik dengan jiwa. Misi kami ialah mahu perkayakan lagi budaya dalam muzik kami. Ia semacam satu evolusi juga. Macam dulu semasa zaman pop yeh yeh, disko dan 1970-an, ketika itu ciri-ciri Melayu sangat kuat dalam lagu-lagu," kata Ilham, sang vokalis yang juga merupakan anak sulung komposer ternama, Datuk M. Nasir.

Selain Ilham, Pita Hati turut dianggotai dua lagi anak M. Nasir iaitu Yasin dan Hidayat. Masing-masing bermain drum dan gitar. Dua lagi anggota yang menyatu menyempurnakan Pita Hati sebagai sebuah band ialah Zahar yang juga bermain gitar dan Masrin di posisi bass.

"Masa mula-mula dahulu, Pita Hati hanyalah saya dan Yasin. Zahar dan Masrin pula dari kumpulan lain, kemudian Hidayat akhirnya menyertai kami, maka jadilah Pita Hati," kata Ilham.

Sudah adat membesar bernaungkan legasi muzik M. Nasir, sama ada Ilham, Yasin atau Hidayat, tiga beradik itu tidak dapat mengelak daripada persoalan klise, adakah muzik mereka dibayangi muzik si bapa yang sudah merentasi nusantara.

Ditanya lagi persoalan yang sudah didengari mereka sejak memperkenalkan EP Bintang Biru Kristal Salju dua tahun lalu, tiga beradik itu sudah dapat mengagak.


ILHAM anak sulung M. Nasir yang bertindak sebagai vokalis bahkan perintis yang menggerakkan muzik Pita Hati.


"Setakat ini masih belum ada yang mendakwa muzik kami sebagai bayangan muzik M. Nasir.

"Kalau itu juga yang mahu didakwa, saya anggap hal itu tidak adil kepada dua lagi anggota kami (Masrin dan Zahar). Misi kami, harap bayang kami akan lebih besar daripada bayang dia (M. Nasir)," jawab Ilham (ketawa).

Album sudah pun dilancarkan, selain misi untuk menyebarkan ideologi muzik yang masih berlagu dalam rentak rock itu, Pita Hati yang kini mempertaruhkan 10 buah lagu itu ada agenda yang lebih padu.

"Kami dalam rencana membawa Fonetik Anak Candal menjelajah ke seluruh Malaysia. Tidak hanya untuk peminat muzik di bandar, kami mahu album ini masuk ke pendengaran peminat muzik di luar bandar," kata Masrin pula.

Menamakan misi itu sebagai Merapah Fonetik Anak Tanah Semenanjung 2014, jelajah lunak yang mengalunkan tajuk-tajuk seperti Krisendo Slendro, Nafas, Cahaya Dalam Buta, Hati-Hati Ahmad, Olivia, Burung Dalam Kaca dan Akhirnya Kita Sendiri itu telah bermula sejak awal Mei lagi. Mereka telah disaksikan peminat di Kulim Kedah, George Town pada 2 Mei, Pulau Pinang (3 Mei), Khizanat, Ipoh (9 Mei) dan Black Box, Publika, Kuala Lumpur (10 Mei).

Lagu-lagu lain yang turut dimainkan dalam misi menjajah pancaindera khalayak itu termasuklah Bicara Dan Susunkata, Melayar serta lagu daripada EP seperti Bintang Biru Kristal Salju yang turut dimasukkan dalam album pertama mereka.

Akan datang, Pita Hati akan berada di Dungun, Terengganu pada 16 Mei, Kuantan (18 Mei), Subang Jaya (31 Mei), Aliwal Street, Singapura (31 Mei) dan Alor Setar (13 Jun). Siri jelajah itu akan berakhir pada kunjungan mereka ke Taman Botani, Jalan Kebun Bunga, Pulau Pinang pada 14 Jun nanti.

"Kami sedang bersedia untuk mendekati peminat muzik bukan hanya tertumpu kepada satu-satu kelompok khalayak sahaja," jelas Hidayat pula.

Celah Ilham, mereka yakin ada pendengar setia yang mengikuti perkembangan kumpulan itu dari semasa ke semasa.

"Kami juga beruntung sebab dapat bekerjasama dengan penganjur-penganjur setempat. Mereka turut mendapat pulangan hasil jualan tiket dan kami pula dapat bertemu pendengar," tambah Ilham.