Ancaman besar Budak Kecil

SEBUAH rumah di Malibu, California runtuh akibat kesan fenomena El Nino.


CUACA panas terik yang melanda negara pada awal tahun ini sememangnya meresahkan ramai orang. Sesetengah kawasan seperti Lembah Klang berhadapan dengan catuan bekalan air berikutan air empangan berada pada paras kritikal.

Ada juga sawah padi yang mula kontang manakala kebakaran hutan dan belukar berlaku di sana sini hampir setiap hari.

Bagi pengusaha jagung di Terengganu, Zakaria Nor, 29, atau lebih mesra dipanggil Pokya, hasil tanaman jagungnya turut terjejas akibat cuaca panas baru-baru ini.

Katanya, kekurangan air menyebabkan saiz tongkol jagung menjadi lebih kecil manakala hasil keluaran turut merosot.

Sebelum ini, ladang jagung seluas 2.4 hektar yang diusahakannya di Marang mampu mengeluarkan hasil sebanyak 20,000 biji semusim namun merosot kepada 10,000 biji sahaja.

"Lebih teruk lagi apabila terdapat beberapa pengusaha ladang lain terpaksa gulung tikar setelah tanaman mereka mati kekeringan," ujarnya yang menjual jagung secara bergerak menggunakan lori sehingga ke Kuantan, Pahang.

Sebenarnya, cuaca panas terik yang dihadapi rakyat Malaysia beberapa bulan lalu belum mencecah tahap mudarat atau kemarau tetapi kesannya begitu dirasai. Bagaimana pula jika keadaan menjadi lebih teruk?

Berita buruknya, Malaysia diramal bakal menghadapi kemarau panjang berikutan kedatangan fenomena El Nino bermula bulan Jun nanti. Ramalan itu berdasarkan kajian terbaharu Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom.

Jika benar, Malaysia akan menghadapi keadaan musim kemarau berpanjangan selama enam bulan, begitu juga dengan beberapa negara Asia Tenggara lain.

El Nino ialah fenomena pemanasan suhu permukaan laut di timur Lautan Pasifik yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut-turut.

Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd. Yusoff berkata, El Nino biasanya berlaku setiap dua hingga empat tahun sekali.


MUSIM kemarau menyebabkan tanah merekah di Kedah pada tahun 2010.


Abdull Rahim berkata, ukuran El Nino pada tahap yang kuat boleh menyebabkan kekurangan bekalan air dan makanan akibat musim kemarau. Antara tanda-tanda awal kedatangan El Nino yang sudah dapat dilihat sekarang ialah statistik taburan hujan yang kurang daripada normal sejak kebelakangan ini.

"Bibit-bibit El Nino mula kelihatan pada awal tahun ini apabila taburan hujan amat sedikit daripada biasa, malah kurang daripada 50 milimeter (mm) di tempat tertentu.

"Jika benar El Nino akan melanda Malaysia, pihak yang bertanggungjawab menguruskan bekalan air mesti bersedia lebih awal bagi menghadapi fenomena itu," katanya.

Malaysia pernah mengalami fenomena ini pada tahun 1998, di mana suhu tertinggi mencecah 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

Suhu laut

Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengesahkan pihaknya sedang memantau ramalan fenomena El Nino tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata, pihaknya bersiap sedia menghadapi kemungkinan fenomena itu.

Malah, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi cuaca kering yang diramal berlaku dari Jun hingga September tahun ini.

"Jawatankuasa khas itu membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Bomba.

"Kita sedia maklum mengenai El Nino yang berkaitan dengan Monsun Barat Daya (musim kering), kita juga sudah keluarkan ramalan cuaca sebagai persediaan menghadapinya," katanya.

Jelasnya, pihaknya bertanggungjawab untuk melaksanakan operasi pembenihan awan jika kadar Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap bahaya.

"Bulan Jun akan menjadi lebih kering berbanding sekarang. Kejadian jerebu pula mungkin lebih buruk daripada beberapa bulan lalu. Jadi, pihak kerajaan perlu mengambil langkah awal seperti penyediaan topeng muka," ujarnya.


FENOMENA El Nino terburuk dilaporkan berlaku di China pada tahun 1997 dan 1998, mengakibatkan 1,500 orang maut.


Pakar iklim di Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel Australia, Dr. Wenju Cai, memberitahu, peningkatan suhu di Lautan Pasifik dapat dilihat seperti kejadian El Nino pada tahun-tahun sebelum ini.

"Saya rasa El Nino kali ini mempunyai ciri-ciri yang lebih teruk.

"Risiko untuk ia terjadi pada tahun ini melebihi 70 peratus mengikut jangkaan Biro Meteorologi Australia," katanya.

Fenomena El Nino menjejaskan kegiatan ekonomi bagi negara-negara membangun yang bergantung kepada pertanian dan perikanan, terutamanya yang bersempadan dengan Lautan Pasifik.

Di Amerika Selatan, fenomena El Nino menyebabkan berlakunya peningkatan hujan di seluruh Lautan Pasifik termasuk beberapa bahagian pantai barat benua itu.

Musim sejuk di Amerika Utara pula menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering.

Malah, ada juga yang berpendapat, ribut ais pada bulan Januari 1998 yang memusnahkan bahagian selatan Ontario dan selatan Quebec di Kanada turut berpunca daripada El Nino.

Tanaman

El Nino jugalah yang mencairkan salji di Vancouver pada tahun 2010 ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk berlangsung di Kanada.

Di Asia Tenggara dan utara Australia, keadaan menjadi kering, insiden kebakaran hutan dan jerebu meningkat, sementara kualiti udara menurun.

Kesan El Nino kepada negara Eropah lebih terserlah pada musim sejuk. Suhu sejuk pada tahun 2009 dan 2010 merupakan suhu tersejuk di Eropah Utara tetapi El Nino bukanlah satu-satunya punca cuaca sejuk melampau itu.

Fenomena El Nino boleh menjejaskan sektor ekonomi selain berlakunya kenaikan harga global bagi pengeluar minyak sawit utama Indonesia dan Malaysia.

Ia juga menjejaskan tanaman di Thailand, salah satu pengeksport beras terbesar dunia.

Di China, taburan hujan yang banyak di kawasan selatan Sungai Kuning sering mencetuskan banjir besar di kawasan pengeluaran beras dan kapas di negara itu.

Sementara itu, El Nino di India bakal menyaksikan pengeluaran lebih rendah tanaman musim panas seperti beras, tebu dan bijirin lain. India merupakan pengeluar kedua di dunia bagi beras dan gandum.

Ternyata, El Nino yang bermaksud Little Boy atau Budak Lelaki Kecil dalam bahasa Sepanyol itu sebenarnya bakal memberi ancaman besar kepada penduduk dunia jika ia tidak ditangani dengan betul.