London paling ramai bilionair


PASANGAN adik-beradik Srichand (kiri) dan Gopichand Hinduja.


LONDON, Britain - Kota metropolitan ini memiliki paling ramai bilionair di dunia, manakala Britain mempunyai lebih banyak bilionair bagi nisbah penduduk berbanding negara-negara lain, menurut satu senarai baharu yang disiarkan kelmarin.

Bandar raya ini menjadi kediaman 72 daripada 104 bilionair di Britain berbanding Moscow yang mempunyai 48 bilionair untuk menduduki tempat kedua.

Senarai berkenaan memilih individu di Britain yang memiliki kekayaan menyamai £1 bilion (RM5.4 bilion) atau lebih sebagai bilionair.

Kota raya New York berada di tempat ketiga dengan 43 bilionair diikuti oleh San Francisco dengan 42 bilionair dan Los Angeles yang mempunyai seramai 38 bilionair.

Tempat keenam pula menjadi milik Hong Kong yang memiliki 34 bilionair.

Adik-beradik kelahiran India, Srichand dan Gopichand Hinduja mengungguli senarai Britain itu dengan kekayaan mencecah £11.9 bilion (RM64.7 bilion) yang dikumpulkan menerusi syarikat milik keluarga berkenaan, Hinduja Group.

Syarikat itu memiliki kepentingan dalam sektor minyak, perbankan, industri automotif, hartanah dan media.

Pasangan adik-beradik itu mengatasi penyandang senarai bilionair pada tahun lalu, Alisher Usmanov.

Antara bilionair yang berada di tempat 25 teratas senarai sama termasuk pelabur kelahiran Ukraine, Len Blavatnik, taikun hartanah, Gerald Grosvenor dan bilionair kelahiran Arab Saudi, Mohamed Bin Issa Al Jaber.

Dalam pada itu, Britain kini memiliki seramai 104 bilionair yang memiliki aset keseluruhan sebanyak £301.13 bilion (RM1.64 trilion). - AFP