Omar, Kurtwood teruja bintangi Resurrection


LANDON GIMENEZ (depan, kiri) melakonkan karakter Jacob ketika kecil yang menjadi fokus utama drama bersiri, Resurrection.


APABILA anak yang disangka telah mati kira-kira 30 tahun lalu secara tiba-tiba muncul semula, sudah tentu ia merupakan suatu perkara yang cukup pelik dan menjadi misteri.

Itu antara intipati cerita dalam drama bersiri terbaharu berjudul Resurrection yang memulakan tayangan menerusi saluran Lifetime (709) pada hari ini, 12 Mei pada pukul 10 malam, setiap Isnin.

Resurrection mengisahkan tentang seorang budak lelaki berusia lapan tahun, Jacob dijumpai terdampar seorang diri di sawah padi di sebuah kampung di wilayah China tanpa mengetahui apa yang telah berlaku.

Mengingati dirinya berasal dari sebuah pekan iaitu Arcadia yang terletak di Missouri, Amerika Syarikat, Jacob telah dibawa oleh seorang pegawai imigresen, J. Martin Bellamy pulang ke kampung halamannya.

Dia kemudian dibawa ke sebuah rumah yang diduduki oleh pasangan warga emas berusia 60 tahun, Henry dan Lucille yang telah kehilangan anak mereka, Jacob, 30 tahun lalu akibat mati lemas.

Jacob mengenali pasangan warga emas itu sebagai ibu bapanya, biarpun sudah dimamah usia. Lucille ternyata gembira dengan kemunculan Jacob manakala Henry masih tidak dapat menerima hakikatnya.

Drama bersiri yang telah ditayangkan di Amerika Syarikat pada bulan Mac lalu dibintangi oleh beberapa pelakon popular seperti Omar Hashim Epps, Kurtwood Smith, Landon Gimenez, Matt Craven dan Devin Kelley.

Menariknya, dua bintang utama Ressurection iaitu Omar dan Kurtwood telah datang ke Malaysia yang menjadi salah sebuah lokasi selain Singapura dan Filipina untuk mempromosikan drama bersiri tersebut baru-baru ini.

Omar yang watak sebagai Martin, seorang pegawai imigresen dan bekas anggota polis berkata, dia melihat naskhah yang diadaptasi daripada sebuah novel berjudul The Return itu memiliki keunikan tersendiri.

“Watak saya dalam drama bersiri ini bukan sekadar seorang pegawai imigresen semata-mata tetapi saya turut bertindak sebagai seorang ejen yang cuba menyiasat mengenai sekumpulan penduduk di Arcadia yang tiba-tiba hidup semula setelah mati 30 tahun yang lalu.

“Tidak dinafikan ia sesuatu yang sangat teruja apabila diberi peluang berlakon dalam drama bersiri ini tetapi ia memberi cabaran tersendiri kerana fenomena dalam cerita Ressurection memang tidak pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya dalam sidang akhbar yang berlangsung.


OMAR HASHIM EPPS (kanan) dan Kurtwood Smith hadir bagi mempromosi drama bersiri, Resurrection di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Menceritakan tentang pengalamannya sepanjang terbabit dalam penggambaran drama bersiri itu, Omar mengakui amat gembira kerana digandingkan dengan ramai pelakon hebat.

“Setiap pelakon berhasil membawakan watak masing-masing dengan cukup berkesan dan ia turut memberi kepuasan kepada saya sebagai pelakon. Sudah tentu saya tidak sabar kembali berlakon dalam drama bersiri ini bagi musim kedua,” luahnya.

Jumpa bapa

Kurtwood Smith pula menjelaskan, dia tertarik untuk berlakon dalam drama bersiri berkenaan kerana tertarik dengan jalan cerita dan watak yang ditawarkan kepadanya itu.

Jelasnya, memegang watak sebagai Henry yang kehilangan anak selama 30 tahun, dia benyak bermain dengan emosi memandangkan dirinya sebagai bapa yang sukar menerima hakikat apabila anak yang disangka mati telah muncul.

“Meskipun drama bersiri ini diadaptasi daripada sebuah novel, tetapi ia tidak semestinya perlu ikut 100 peratus. Malah, watak saya juga tidak sama dengan novel berkenaan.

“Mengenai sambutan penonton terhadap Ressurection pula, ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan terutama maklum balas yang diberikan di laman sosial.

“Jadi, ia akan diteruskan untuk musim kedua yang akan menjalani penggambaran pada bulan Julai ini,” ujarnya yang popular menerusi watak ketua penjahat dalam filem Robocop.

Ketika ditanya tentang siapakah individu yang ingin ditemuinya andaikata fenomena dalam Ressurection itu berlaku, Kurtwood memberitahu, dia teringin untuk berjumpa dengan mendiang bapanya.

“Saya tidak sempat berjumpa dengan bapa yang bekerja sebagai askar dan terkorban semasa Perang Dunia Kedua dahulu.

“Kalau benar fenomena sebegitu terjadi, bapa merupakan individu yang ingin saya jumpa,” jelas pelakon yang lahir pada 3 Julai 1943 itu.