Parut jadi inspirasi masyarakat

BATHMAVATHI (tengah) bergambar bersama para pemenang dan wakil Hiruscar di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.


MEDINOVA AG, syarikat pembekal barangan kesihatan kulit, Hiruscar baru-baru ini telah mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang kempen Hiruscar Beautiful, bertempat di Publika, Solaris, Kuala Lumpur.

Kempen yang bertujuan mencari kisah-kisah menarik di sebalik parut yang ada pada individu itu diadili oleh 400 orang doktor, ahli farmasi dan editor.

Antara pemenang kempen tersebut ialah Dr. Ahmad Anas Abdul Majid, Jenny Pong dan Keisha Petrus. Kesemua mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM8,000 setiap seorang dan berpeluang menjadi inspirasi kepada orang lain.

"Kami amat gembira kerana dapat bertemu dengan tiga individu yang menawan ini," ujar Pengarah Pemasaran OTC Serantau, Medinova AG, Pamela Tan.

Menurut Pamela, dalam pencarian para calon kempen Hiruscar Beautiful itu, pihaknya begitu tersentuh hati dengan kisah-kisah calon tersebut.

Hal ini mengukuhkan lagi kepercayaan pihaknya bahawa kisah-kisah penuh inspirasi itu harus dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

"Kempen Hiruscar Beautiful ini bukan untuk menutup masa silam mereka, sebaliknya bagi memastikan perjalanan hidup mereka lebih indah dan menjadi inspirasi kepada orang lain," kata Pamela.

Dalam pada itu, Senator Dewan Negara, Bathmavathi Krishnan berkata, dia sangat menyanjung tinggi inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh Hiruscar itu.

Ujarnya, pengalaman para pemenang itu boleh menjadikan inspirasi kepada orang ramai kerana walaupun mereka hidup serba kekurangan, namun masih boleh mencapai kejayaan seperti hari ini.

"Kempen ini merupakan penghargaan kepada mereka yang menghadapi cabaran besar dalam hidup yang menyebabkan perjalanan hibup mereka menjadi lebih indah," katanya.

Sementara itu, Ahmad Anas menyatakan rasa bersyukur kerana berjaya menjadi pemenang kempen tersebut.

Ahmad Anas yang terbabit dalam satu kebakaran ketika berusia 14 tahun telah menyebabkan 15 peratus tubuhnya melecur.

Akibat kecederaan tersebut, dia terpaksa menjalani pembedahan graf kulit dan rawatan selama empat tahun.

"Kejayaan ini saya dedikasikan kepada kedua-dua ibu bapa saya kerana mereka telah bersusah payah menjaga dan membesarkan saya. Hari ini, saya berjaya bergelar seorang doktor," katanya.

Mengulas mengenai perancangan terhadap wang kemenangannya itu, dia berhasrat untuk mendermakan keseluruhan wang tersebut kepada golongan yang lebih memerlukan.