Pilihan raya Thai mungkin ditunda

SEJUMLAH penunjuk perasaan duduk pada satu perhimpunan antikerajaan Thailand di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pilihan raya umum Thailand besar kemungkinan ditunda berikutan tindakan penunjuk perasaan antikerajaan yang terus menentang pelaksanaan rancangan itu.

Walaupun pilihan raya itu ditetapkan pada 20 Julai, dekri diraja belum dikeluarkan untuk membolehkannya diadakan dan berikutan keganasan yang memuncak kebelakangan ini, ia mungkin ditunda.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan wakil-wakil kerajaan sementara sepatutnya bermesyuarat di Akademi Tentera Udara Diraja Thailand semalam untuk membincangkan perkara berkaitan pilihan raya.

Namun, mesyuarat tersebut tidak dapat berlangsung apabila penunjuk perasaan memasuki akademi itu.

Setiausaha agung SPR, Phuchong Nutawong memberitahu pemberita, mesyuarat itu terpaksa ditunda kerana para penunjuk perasaan memasuki akademi itu dan berkumpul hanya 50 meter dari dewan mesyuarat.

Pemimpin Jawatankuasa Pembaharuan Rakyat, Suthep Thaugsuban, yang mengetuai penyokongnya ke akademi itu semalam, memasuki dewan mesyuarat berkenaan.

Bagaimanapun, mereka mendapati tiada anggota SPR dan wakil-wakil kerajaan sementara yang hadir kerana bimbang akan keselamatan diri mereka akibat bantahan yang diadakan.

Para penunjuk perasaan turut makan tengah hari di hadapan dewan mesyuarat itu sebelum kembali ke tempat perhimpunan mereka di Ratchadumnoen Avenue.

Dalam pada itu, menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan Pentadbiran Metropolitan Bangkok, dua orang terbunuh dan 21 cedera apabila dua butir bom tangan dilontar ke arah para penunjuk perasaan antikerajaan yang berhimpun berhampiran Tugu Demokrasi pada kira-kira pukul 2.45 pagi.

Mereka yang meninggal dunia di hospital itu dikenali sebagai Narayos Chanpet, 21, dan Somkuan Nuankhanai , 51.

Sejak 30 November tahun lalu, seramai 24 orang terbunuh dan 783 orang lagi cedera di Bangkok manakala tiga torang lagi terbunuh dan 43 lagi cedera di wilayah lain.

Penyelesaian terhadap konflik politik Thailand mengalami kebuntuan apabila penunjuk perasaan antikerajaan terus mendesak agar perubahan dilakukan dan kerajaan sementara sekarang disingkirkan kerana ia dianggap masih dipengaruhi Thaksin Shinawatra, walaupun adiknya, bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra telah disingkirkan.

Sementara itu, parti pemerintah, Pheu Thai Party, mahu pilihan raya umum diadakan secepat mungkin dan yakin akan memenanginya. - Bernama