Kemenangan Modi buka era baharu di India

16/05/2014 9:27pm

NEW DELHI - Calon Perdana Menteri, Narendra Modi mengisytiharkan India kini memasuki satu `era baharuí selepas parti pembangkang, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya mencipta kemenangan paling besar pada pilihan raya negara itu dalam tempoh 30 tahun.

Keputusan awal dalam pilihan raya yang berlangsung selama enam minggu tersebut menunjukkan BJP yang diketuai Modi bakal menjadi parti tunggal pertama yang menang majoriti kerusi parlimen sejak tahun 1984.

Kemenangan yang diperoleh Modi, 63, yang merupakan anak seorang penjual teh tersebut menjangkaui semua ramalan yang dibuat para penganalisis sebelum ini.

Kejayaan itu juga dijangka mengubah lanskap politik India apabila Modi memperoleh mandat yang besar untuk membuat perubahan ekonomi yang dijanjikan beliau sebelum ini.

Modi yang merupakan Ketua Menteri Gujarat sebelum ini menerima pujian kerana berjaya mengukuhkan perkembangan ekonomi di negeri tersebut.

Apabila keputusan pilihan raya itu disahkan beliau bakal menjadi Perdana Menteri India ke-15 menggantikan Perdana Menteri, Manmohan Singh.

Keputusan awal yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan BJP memperoleh undi majoriti apabila memenangi lebih 272 kerusi daripada 543 kerusi yang dipertandingkan.

Parti itu dijangka mudah melepasi angka 330 kerusi apabila parti sekutu BJP turut memenangi beberapa kerusi parlimen.

Parti Kongres yang dikuasai oleh keluarga Ghandhi yang memerintah negara itu selama 13 tahun bakal mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah apabila hanya memperoleh tidak sampai 50 kerusi.

Parti itu sebelum ini hilang kepercayaan rakyat berikutan skandal rasuah, persengketan dalaman serta kegagalan untuk mengendali masalah ekonomi, kemiskinan infrastruktur dan pendidikan negara. - AFP