Macan teruskan survival Porsche



PENGELUAR kereta sport terkemuka Jerman, Porsche mengejutkan industri automotif global pada bulan Jun 1998 dengan keputusan untuk membangunkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu. Keputusan luar biasa itu menjadi detik yang mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan peminat setia, kumpulan fanatik dan pengguna baharu jenama berkenaan.

Empat tahun kemudiannya, Porsche tampil dengan SUV itu yang dinamakan sebagai Cayenne. Model dalam kategori crossover SUV itu dihasilkan menerusi usaha sama dengan Volkswagen Group dengan tujuan untuk menjimatkan kos pembangunan jentera premium tersebut. Porsche Cayenne berkongsi casis denagn model Volkswagen Touareg dan Audi Q7.

Bagi peminat fanatik Porsche, mereka rasa kecewa dengan langkah itu kerana ia ibarat menurunkan darjat jenama yang mereka agung-agungkan selama ini. Ketidakpuasan hati itu melarat sehingga kepada forum-forum permotoran dalam talian seperti forum.reenlist.com.

Kekecohan itu berjaya menarik perhatian beberapa institusi pengajian tinggi untuk menjalankan kajian kes terhadap Porsche, Cayenne dan kelompok pengguna. Hasil kajian itu melaporkan bahawa ada segelintir peminat fanatik Porsche bertikam lidah dengan para pemilik Cayenne. Malah mereka juga tidak mahu mengiktiraf para pembeli Cayenne sebagai sebahagian daripada komuniti pemilik kereta Porsche.

Daripada sudut pengurusan Porsche pula, mereka merasakan langkah memperkenalkan model SUV adalah wajar kerana syarikat perlu mempelbagaikan sumber perolehan dan tidak boleh bergantung harap pendapatan dengan aktiviti menjual kereta sport semata-mata.


RUANG kokpit Macan sarat dengan pelbagai butang khususnya pada bahagian konsol tengah.


Pada masa sama, pasaran terbesar Porsche iaitu Amerika Syarikat sudah menunjukkan trend permintaan tinggi bagi model-model SUV. Keyakinan itu diperkukuhkan lagi apabila pelanggan di negara Uncle Sam itu mula menyokong pembelian beberapa model SUV pesaing lain seperti Mercedes-Benz M-Class dan BMW X5.

Malaysia bakal terima Macan

Keputusan Porsche sememangnya tepat dan membuahkan hasil apabila Cayenne berjaya meraih sambutan memberangsangkan daripada pasaran global. Saban tahun, jualan model Cayenne mula meningkat dan akhirnya menjadi produk paling laris dalam portfolio perniagaan Porsche. Mujur Porsche tidak melutut kepada kehendak peminat-peminat fanatiknya.

Ekoran respons positif itu, ia menjadi pemangkin kepada Porsche untuk merangka strategi baharu bagi mempelbagaikan segmen SUV. Kali ini, pengeluar yang beribu pejabat di Stuttgart, Jerman itu memutuskan untuk melancarkan sebuah SUV kompak dengan kod nama Cajun (bermaksud Cayenne Junior). Kod nama Cajun akhirnya bertukar kepada Macan.

Itulah SUV kompak yang dinanti-nantikan selama ini. Untuk makluman, nama Macan berasal daripada Bahasa Indonesia yang membawa maksud harimau. Debut antarabangsa model itu berlangsung sempena Pameran Auto Los Angeles tahun lalu.

Sama strategi seperti Cayenne dan Audi Q7, Macan juga berkongsi platform dan beberapa komponen dengan model Audi Q5. Bagaimanapun, Porsche bijak mengubah persepsi pengguna apabila mengaplikasi hampir 70 peratus komponen berlainan sebagai justifikasi bagi membezakannya dengan Audi Q5.

Untuk pasaran Malaysia, pengimport rasmi jenama Porsche iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) sudah mengumumkan keputusan untuk membawa masuk empat varian SUV kompak premium iaitu Macan, Macan S, Macan Diesel dan Macan Turbo selewat-lewatnya Ogos ini. Harga yang disyorkan tidaklah begitu mahal iaitu RM450,000 sehingga RM780,000 sebuah.


JURUSOLEK memastikan setiap model yang dihasilkan diberi perhatian khusus bagi memelihara kepercayaan orang ramai terhadap produk premium Porsche.


Laluan semakin mencabar

Sungguhpun begitu, tag harga itu pasti membuatkan pembeli baharu berfikir seketika seandainya mereka ada meneliti produk SUV jenama antarabangsa lain seperti Range Rover Evoque, BMW X3 dan Audi Q5. Bagaimanapun, setiap model ada kelebihan masing-masing dan soal harga adakala tidak mendatang sebarang kesan kepada mereka yang mementingkan imej serta jenama sesuatu produk.

Porsche perlu bersiap sedia kerana segmen SUV premium bakal meriah dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Ada beberapa pengeluar kenderaan mewah sedang bersiap sedia untuk melancarkan SUV premium masing-masing.

Bentley sudah mengumumkan hasrat melancarkan model SUV paling berkuasa dalam tempoh dua tahun akan datang. Pengeluar kenderaan ikonik Britain, Rolls-Royce pula sedang meneliti rancangan untuk menghasilkan sebuah SUV.

Di Itali, Lamborghini masih menunggu lampu hijau daripada syarikat prinsipalnya, Volkswagen Group untuk menjayakan produksi model SUV. Pesaing senegaranya, Maserati pula sedang menghintung hari untuk melancarkan SUV crossover mewahnya iaitu Levante. Jaguar di bawah pemilikan Tata Motors pula sudah menayangkan model konsep SUV C-X17 sebelum ini.

Kemunculan produk-produk baharu membawa satu kesan positif kepada pengguna. Mereka ada pilihan lebih luas dan pengeluar-pengeluar perlu bersaing sesama sendiri untuk menonjolkan kehebatan masing-masing demi menambat hati pembeli. Akhir kata, hidup mati sesebuah produk itu bergantung kepada sambutan pengguna.