VGM perkenalkan Jetta CKD


VOLKSWAGEN Jetta merupakan sebuah sedan dengan rekaan yang unik dengan kombinasi moden dan klasik.


VOLKSWAGEN Group Malaysia (VGM) telah melancarkan Jetta yang merupakan model keempat yang dipasang di negara ini (CKD).

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2011, Jetta telah menjadi salah satu model Volkswagen yang paling popular dan antara sedan pertengahan yang terbaik di pasaran Malaysia.

Volkswagen Jetta adalah tafsiran reka bentuk moden dan sporty pada gaya badan yang klasik. Model ini mula diperkenalkan pada tahun 1979, Jetta popular dengan watak yang sangat tersendiri serta gaya yang unik dengan reka bentuk yang tulen.

Model CKD ini menggunakan enjin suntikan terus 1.4 liter TSI dengan transmisi tujuh kelajuan automatik DSG mampu memberikan kuasa maksimum 160PS dan tork maksimum 240Nm.

Volkswagen mendakwa Jetta mampu memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 8.3 saat dan kelajuan maksimum yang dicatatkan ialah 221 km/j.

Penggunaan bahan apinya dicatatkan 6.0 liter untuk 100 kilometer menjadikan model ini dalam satu aras cekap bahan api.

Menurut Pengarah Urusan VGM, Christoph Aringer, Jetta menawarkan pemacu aspirasi dengan kobinasi sport, elegan dan keselamatan dengan tahap penggunaan bahan api yang efisien.


ANTARA aksesori yang dipertingkatkan daripada varian diimport sepenuhnya ialah sistem audio Jetta ini.


“Model CKD ini memberi petunjuk terbaru komitmen kami untuk menawarkan pilihan kenderaan yang lebih murah untuk rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan kualiti dan jaminan yang datang dengan kenderaan kejuruteraan Jerman,” katanya.

Tambahnya, Jetta yang diimport sepenuhnya diperkenalkan pada tahun 2011 adalah penyumbang utama kepada kejayaan Volkswagen di negara ini.

“Kami amat yakin jualan Jetta akan lebih meningkat pada masa akan datang selepas model itu dipasang dalam negara serta lebih kompetitif berbanding sebelum ini,” tambahnya.

Jetta ini dipasang dengan radio RCD320 baru dengan pilihan sambungan pelbagai seperti Bluetooth, SD- kad slot, USB, iPod dan AUX -In. Ia juga hadir dengan enam speaker.

Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada model ini seperti enam beg udara keselamatan, Kestabilan Kawalan Elektronik (ESC) dengan Sistem Anti-lock Braking (ABS) dan Brake Assist (BA) dan hill-hold control serta sensor hujan.

Model ini ditawarkan dalam empat pilihan warna seperti putih, kelabu, perak dan hitam dengan tanda harga RM130,888 di Semenanjung Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Volkswagen Jetta, sila layari laman web www.volkswagen.com.my.