Tok Gajah ikat Johor DT


FIGUEROA (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Pahang, Mohd. Shahrizan Salleh pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.


KESILAPAN penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan pada penghujung perlawanan menyaksikan Johor Darul Takzim (Johor DT) kempunan meraih kemenangan apabila sekadar seri 2-2 dengan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Strategi Harimau Selatan mengasak benteng pertahanan Tok Gajah ternyata membuahkan hasil apabila bintang import Johor DT, Luciano Figueroa meledak gol pertama pada minit ke-27.

Bagaimanapun, kelebihan Johor DT hanya bertahan seketika apabila pemain sayap lincah, Mohd. Azamuddin Akil kembali menyamakan kedudukan buat Pahang pada minit ke-36.

Kem Pahang cemas seketika apabila pemain tengah, Azidan Sarudin terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan gara-gara bertembung dengan rakan sepasukannya, Mohd. Saiful Nizam Miswan.

Bersambung babak kedua, Johor DT sekali lagi mendahului perlawanan menerusi jaringan Safiq Rahim pada minit ke-49.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kembali menampilkan corak menyerang untuk memburu gol penyamaan.

Saat-saat yang dinanti-nantikan Tok Gajah akhirnya tiba apabila R. Gopinathan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89.

Gopinathan bijak melepasi benteng pertahanan Johor DT sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Izham Tarmizi yang tertampan bola ke gawang sendiri.

Pada 5 Mei lalu, Pahang berjaya mengikat Johor DT 1-1 pada pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Larkin.

Di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, Sarawak bangkit semula untuk mencipta kemenangan apabila menewaskan PKNS 2-1.

Kemenangan skuad kendalian Robert Alberts itu berjaya menebus kekalahan 2-3 di tangan Sime Darby pada penghujung minggu lalu.

Awang import, Muamer Salibasic muncul wira Sarawak apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-83.

Gol pertama skuad Bujang Senang dijaringkan oleh kapten, Joseph Kalang Tie pada minit ke-57 sebelum PKNS menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Fauzan Dzulkifli (78).