Azad jadi pengurus peribadi Lara Dutta

AZAD mendapat tawaran berlakon di dalam filem Bollywood. Jika semuanya berjalan lancar, dia akan terbabit dengan 22 buah babak bersama Lara Dutta.


BUKAN mudah rasanya buat artis tempatan untuk mendapat peluang berlakon dengan produksi dari luar negara sama ada di Hollywood atau Bollywood tetapi lain pula nasibnya dengan pelakon Azad Jasmin.

Azad yang ditemui semasa majlis pelancaran filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 di pejabat outLOUD Studios, Damansara Perdana, Selangor baru-baru ini mendedahkan, dia mendapat peluang berlakon dalam sebuah filem Bollywood.

“Ada pihak daripada sebuah syarikat produksi di Bollywood telah menghubungi isteri saya dan bertanya sama ada saya berminat untuk membintangi filem yang bakal diterbitkan oleh mereka.

“Apabila isteri memberitahu kepada saya tentang tawaran ini, saya sangka ia sekadar watak sampingan yang membabitkan satu atau dua babak sahaja. Namun begitu, saya diberitahu akan terbabit dengan 22 buah babak,” jelas suami kepada pelakon Eira Syazira itu.

Menurut Azad, apa yang membuatkan dirinya berasa lebih teruja dengan tawaran yang diterima kerana dia bakal digandingkan dengan seorang pelakon popular Bollywood iaitu Lara Dutta.

Ujarnya, dalam filem berkenaan dia diberikan watak sebagai pengurus peribadi Lara dan buat masa ini pihak produksi berkenaan masih lagi dalam proses perbincangan dengan pelakon berkenaan.

“Pada mulanya saya hairan bagaimana pihak produksi tersebut mengenali diri saya. Kemudian saya diberitahu bahawa mereka telah menonton lakonan saya sebagai seorang lelaki India dalam filem Kolumpo ketika ditayangkan di sebuah festival filem di luar negara sebelum ini.

“Jika semuanya berjalan dengan lancar, pihak produksi berkenaan akan datang ke Malaysia dan kami akan berbincang dengan lebih lanjut.

“Kalau ditanya tentang perasaan pula, sudah tentu saya sangat gembira kerana ia satu peluang keemasan untuk mengembangkan bakat di luar negara,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelakon itu mendedahkan bahawa timbul sedikit kerisauan sekiranya jadual penggambaran untuk filem berkenaan akan bertembung dengan komitmennya dalam filem terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB).

PELAKON Bollywood Lara Dutta akan terbabit dengan filem baharu, namun semuanya masih dalam perancangan.


Jelas Azad, sebelum ini dia sudah mengikat kontrak dengan GBSB untuk berlakon lima buah filem bersama syarikat tersebut dan ketika ini dia baru sahaja selesai berlakon tiga buah filem.

“Sudah tentu saya risau kalau jadual penggambaran filem Bollwood saya nanti bertembung dengan filem lakonan saya bersama GBSB. Jadi, saya akan berbincang dengan pihak GBSB sekiranya tawaran berlakon filem Bollywood ini menjadi kenyataan,” luahnya.

Selain mendapat peluang untuk tampil di pentas Bollywood, Azad memberitahu, dia juga mendapat tawaran daripada sebuah syarikat untuk berlakon drama tentang pengembaraan Marco Polo yang akan ditayangkan di saluran BBC.

Raja Lawak

Ketika ditanya perkembangannya dalam dunia lakonan pula, Azad yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Kelip Kelip memberitahu, dia akan ke Itali selepas Hari Raya Aidilfitri untuk penggambaran filem Poskad Dari Itali bersama Keith Foo.

Ujarnya, ketika ini terdapat beberapa buah filem lakonannya yang lain juga sedang menanti untuk ditayangkan di pawagam seperti Mama Cupcake, Tujuh, Showdown, Suatu Malam Kubur Berasap 2 dan Kelip Kelip.

“Berkenaan dengan filem terbaharu saya, Suatu Malam Kubur Berasap 2 yang akan ditayangkan pada 12 Jun ini, saya membawakan watak sebagai Chot yang merupakan kawan baik kepada Ajak dan Shahrol yang menganggotai kumpulan Shiro.

“Saya bersetuju berlakon dalam filem ini kerana sudah lama saya berkeinginan untuk berganding dengan peserta yang lahir daripada program Raja Lawak. Pengalaman dapat berlakon bersama Ajak dan Shahrol turut memberi satu pengalaman yang menarik,” ujarnya.

Selain Azad, Ajak dan Shahrol, pelakon-pelakon lain yang turut membintangi filem terbitan outLOUD Studios itu antaranya seperti Rahim Sepahtu, Mr. Os dan Soo Wincci.