Jihad Ismail Sabri perangi orang tengah



KETEGASAN yang ditunjukkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melancarkan kempen Jihad Memerangi Orang Tengah amat dikagumi kerana ia merupakan masalah yang sudah berakar umbi dalam sektor pertanian negara.

Angkara mainan licik orang tengah, golongan petani ditindas dan terpaksa hidup di bawah paras kemiskinan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu tekad membanteras gejala tersebut bermula dengan subsektor padi dan beras pada Januari lalu. Ini diikuti subsektor perikanan pada Februari dan buah-buahan serta sayur-sayuran hujung bulan ini.

Ketokohan dan kebolehan Ismail Sabri sebenarnya sudah terserlah sejak dilantik menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada April 2009.

Beliau telah berjaya melaksanakan pelbagai program transformasi menerusi pelaksanaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang membolehkan rakyat membeli barang yang berkualiti pada harga rendah.

Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) pula khusus untuk golongan peniaga mengubah perniagaan mereka supaya mampu berdaya saing.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, Ahli Parlimen Bera, Pahang itu mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA). Kini telah genap setahun beliau bersama MoA.

“Sebelum menyertai MoA, saya lihat sektor pertanian tidak banyak mengalami perubahan kerana dibelenggu persepsi yang mengaitkannya dengan kemiskinan, dianggap sektor luar bandar dan tidak moden.

“Pencapaian sektor ini juga masih pada takuk lama, tidak banyak penyertaan golongan muda sebagai pelapis, teknologi dan inovasi yang masih ketinggalan berbanding negara jiran serta tiada daya saing untuk pasaran eksport.

“Jabatan dan agensi sedia ada pula masih berkisar kepada agenda yang tidak dapat menjadikan sektor ini berdaya maju kepada golongan sasar dan ekonomi negara,” katanya dalam satu wawancara khas di Putrajaya baru-baru ini.


KETUA Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah (kiri sekali) bersama pegawai-pegawai kementerian mengacau dodol dan rendang pada satu majlis di kementerian tersebut di Putrajaya tahun lalu.


Banteras

Beliau membayangkan, sekiranya persepsi dan pencapaian sektor itu tidak dapat dipulihkan atau ditransformasikan maka ia boleh dilihat sebagai satu sunset industry kepada negara.

Setelah meneliti dengan mendalam dan mendapat input daripada para pegawai, Ismail Sabri mendapati punca sebenar sektor pertanian di Malaysia tidak mengalami perkembangan adalah ekoran kewujudan orang tengah.

Keperluan menjaga kepentingan golongan petani telah mencetuskan ilham kepada Ismail Sabri untuk melancarkan jihad membanteras orang tengah. Ini menunjukkan betapa seriusnya perjuangan untuk mengeluarkan nelayan, petani dan penternak daripada cengkaman lintah darat.

“Apabila sebut jihad, orang nampak sesuatu yang serius. Bukan sahaja saya sebut dalam kalangan nelayan, petani dan penternak tetapi dalam kalangan pegawai kerajaan, agensi dan kementerian, perkataan jihad membawa makna yang serius.

“Jihad Memerangi Orang Tengah ini juga bukan ditujukan untuk orang bukan Melayu atau bukan Islam kerana orang tengah ini tidak mempunyai bangsa dan agama. Sesiapa boleh menjadi orang tengah asalkan dia mengambil kesempatan menindas,” kata beliau.

Menerusi kempen Jihad Memerangi Orang Tengah, beliau telah memperkenalkan lapan inisiatif iaitu peruntukan RM40 juta daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (Tekun) bagi menyelesaikan hutang nelayan kepada orang tengah termasuk pinjaman membeli bot dan peralatan lain.

Selain itu, Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) membeli terus hasil ikan daripada nelayan dan Nekmat diberi peruntukan kecemasan sebanyak RM50,000 untuk pinjaman segera kepada nelayan.

Sebanyak 200 pusat pengumpulan dan pengedaran hasil ikan pula akan disediakan oleh Nekmat dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bilangan pasar nelayan pula ditambah menjadi 50 buah pada tahun ini berbanding 36 buah yang telah beroperasi selain memberi tapak berniaga di pasar tani serta pasar ikan bergerak kepada nelayan.


AHMAD (dua dari kiri) yang menerajui FAMA turut bertanggungjawab memacu agensi itu memerangi orang tengah.


Dasar baharu

Beberapa dasar baharu turut diperkenalkan oleh Ismail Sabri dan MoA walaupun tidak disenangi pihak-pihak tertentu. Namun, ia perlu dilaksanakan demi masa depan negara dan kepentingan banyak pihak.

Antaranya, pengharaman penggunaan pukat tunda saiz anak mata 38 milimeter (mm) yang mula dikuatkuasakan pada November tahun lalu. Lesen pengusaha laut juga boleh dibatalkan sekiranya memajak bot kepada pengusaha Vietnam atau menggajikan nelayan asing sepenuhnya.

Dalam wawancara dengan Kosmo!, Ismail Sabri jelas tidak bersikap apologetik.

“Saya cuma menyempurnakan apa yang sudah ada dalam undang-undang tetapi tidak dapat dilaksanakan selama ini. Saya lihat langkah itu sudah menjadi keperluan mendesak demi masa depan ekosistem dan hidupan laut.

“Saya tidak akan kompromi dalam soal ini. Kita akan korbankan kepentingan golongan yang kecil itu untuk menjaga kepentingan ramai dan inilah yang menjadi prinsip saya,” tegas beliau.

Selain itu, beliau turut bertanggungjawab untuk meliberalisasikan permit import bagi ayam, lembu, kambing, kopi, kobis, khinzir dan kelapa bertujuan untuk mengelak berlakunya monopoli.

Petani muda

Menyedari pentingnya penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian, Ismail Sabri turut menubuhkan Unit Agropreneur Muda bagi menarik lebih ramai golongan belia di bawah umur 40 tahun menyertai sektor itu.

Menerusi unit tersebut, MoA akan menyediakan pelbagai keperluan untuk para petani muda dari segi tanah, bengkel, pembiayaan, bimbingan dan ilmu pengurusan.

“Sasaran awal kita ialah melatih seramai 1,000 orang belia pelbagai latar belakang pendidikan menceburi bidang pertanian. Sambutan sangat menggalakkan apabila lebih 2,000 belia telah memohon untuk menyertai unit ini.


PERTANIAN tanpa orang tengah membolehkan petani mengecap pulangan berganda.


“Jelas apa yang kita laksanakan telah berjaya mengubah persepsi negatif dalam kalangan generasi muda menerusi pengenalan pertanian moden yang sesuai untuk golongan tersebut,” jelasnya.

MoA turut mewujudkan Majlis Perundingan Agropreneur Muda yang dipengerusikan oleh Ismail Sabri sendiri bertujuan untuk melibatkan golongan muda dalam penggubalan dasar dan program-program pembangunan pertanian belia.

Mengenai masa depan sektor pertanian negara, Ismail Sabri menjelaskan, perubahan minda perlu berlaku dalam semua peringkat bermula daripada kementerian, agensi, pemimpin persatuan selain nelayan, petani dan penternak sendiri.

“Kita, misalnya, telah memperkenalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan ia merupakan kaedah sistematik yang baik untuk sektor pertanian.

“Namun, masih ramai petani belum mendapatkan sijil GAP kerana mereka lebih selesa dengan cara tradisional yang sebenarnya menyebabkan keluaran mereka lebih rendah berbanding jika mengamalkan sistem GAP.

“Disebabkan itu, saya perlu kerja lebih keras untuk ubah cara petani kita bekerja. Bagi menyelesaikan masalah ini, kita akan laksanakan kursus perubahan minda membabitkan pemimpin-pemimpin persatuan petani bermula tahun ini,” katanya.

Ismail Sabri menegaskan, sekiranya perkara itu tidak diatasi dengan segera, ia akan menyebabkan segala perancangan yang ingin dilakukan akan mengalami kegagalan.

Harapan dan impian beliau ialah mengubah kehidupan nelayan, petani dan penternak secara holistik dan usaha mencapai sasaran tersebut memerlukan satu pendekatan yang berbeza daripada amalan sebelum ini.