The Gunners belum puas


WENGER (kanan) menjulang trofi Piala FA setelah Arsenal menewaskan Hull 3-2 di Stadium Wembley.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berharap kemenangan 3-2 ke atas Hull City pada aksi final Piala FA kelmarin dapat menjadi titik kebangkitan menjulang lebih banyak kejuaraan pada masa depan.

Kejayaan itu menyaksikan The Gunners akhirnya berjaya menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa menjulang trofi hasil kebangkitan dramatik setelah terlebih dahulu ketinggalan 0-2 pada awal permainan.

Beraksi di Stadium Wembley, Hull mendapat dua gol awal dalam tempoh lapan minit menerusi jaringan James Chester dan Curtis Davies pada minit keempat dan kesembilan.

Bagaimanapun, Arsenal bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol daripada sepakan percuma Santi Cazorla dan Laurent Koscielny pada minit ke-17 dan 79.

Perancang The Gunners, Aaron Ramsey muncul wira pasukan selepas meledak gol kemenangan skuad bimbingan Wenger selepas kedudukan 2-2 itu diheret ke masa tambahan perlawanan.

Jelas Wenger tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dan berbangga dengan semangat juang tinggi dipamerkan anak-anak buahnya pada perlawanan tersebut.

"Aspek mental sangat penting dalam perlawanan seperti ini yang mana semua orang mengharapkan kamu menang tetapi kamu sedang ketinggalan 0-2.

"Sudah tentu kamu merasai tekanan hebat lebih-lebih lagi semua orang mengharapkan kamu menang sebelum perlawanan ini bermula lagi.

"Perlawanan akhir di England sangat istimewa. Kita telah melihatnya sendiri pada tahun lepas (apabila Wigan menewaskan Manchester City) dan kali ini kita menyaksikannya sekali lagi.

"Ini merupakan detik istimewa kepada pasukan ini kerana jika kalah hari ini (kelmarin), ia sudah tentu sangat menyakitkan kepada kami.

"Namun, kemenangan ini akan menjadi platform terbaik kepada kami untuk menjadi lebih kuat pada musim depan," katanya.

Sebagai rekod, pengendali kelahiran Perancis itu telah merangkul lima kejuaraan Piala FA sekali gus menyamai rekod bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson. - AFP