Seorang tentera maut, 12 cedera dalam keganasan di Selatan Thailand

19/05/2014 8:31pm

NARATHIWAT - Seorang tentera maut dan 12 orang cedera dalam tiga kejadian letupan bom dan dua kejadian tembak menembak hari ini di Narathiwat serta Pattani, selatan Thailand.

Di Narathiwat, Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Polis Major General Pattanawut Angkanavin memberitahu pemberita tiga letupan bom berlaku di wilayah itu yang mencederakan sembilan orang pegawai keselamatan.

Letupan pertama berlaku pada pukul 8.40 pagi waktu tempatan di Kampung Panaem, Daerah Srisakorn sehari selepas tamat perlumbaan Srisakorn Of Road International Challenge III.

Ketua Polis Daerah Srisakorn, Polis Kolenal Pawong Sanukul pula berkata, bom buatan sendiri seberat 25 kilogram yang diletak di tepi jalan yang diletupkan dengan menggunakan alat walkie talkie mencederakan seorang anggota tentera.

Bom kedua pula diletupkan pada pukul 9.30 pagi di Kampung Banggul Satol yang menyebabkan tiga anggota rela yang mengawal keselamatan jalan raya cedera ringan. - Bernama