31 kanak-kanak rentung

ORANG ramai melihat sejumlah mayat kanak-kanak yang maut selepas bas yang dinaiki mereka terbakar di bandar Fundacion, Colombia kelmarin.- Reuters


BOGOTA, Colombia - Seramai 31 kanak-kanak rentung apabila bas yang dinaiki mereka terbakar dan meletup di utara Colombia semalam, kata Pertubuhan Palang Merah.

Seorang pegawai pertubuhan itu, Cesar Uruena berkata, seramai 25 orang termasuk seorang individu dewasa melecur teruk dalam nahas itu yang berlaku di bandar Fundacion dalam wilayah Magdalena.

"Mangsa-mangsa yang cedera mengalami melecur pada peringkat kedua dan ketiga dengan ramai masih kritikal," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Fundacion, Luz Stella Duran memberitahu wartawan bahawa kumpulan kanak-kanak yang menaiki bas berkenaan berumur antara satu hingga lapan tahun.

"Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri satu upacara keagamaan," katanya.

Menurut beberapa mangsa terselamat, pemandu bas meletakkan sebuah tong berisi petrol di dalam kenderaan tersebut.

Terdahulu, polis menyatakan bas itu terbakar akibat masalah teknikal.

Kata jurucakap polis, pemandu bas berkenaan telah menghilangkan diri selepas kejadian tersebut. - AFP