Tengku Abdullah pilihan

SIKAP mesra Tengku Abdullah (tengah) cukup disenangi oleh para perwakilan FAM yang menyokong baginda untuk bertanding jawatan Presiden FAM.


TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi calon kegemaran untuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu menjelang Kongres FAM ke-50 pada 25 Mei ini.

Itu diakui salah seorang sumber yang rapat dengan FAM semalam yang menyifatkan sebahagian besar perwakilan lebih gemar dengan cara kepimpinan Tengku Abdullah yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja selain pemimpin yang mudah didekati pihak media.

Menurutnya, Tengku Abdullah yang juga presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli-ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Jelas sumber yang enggan dikenali itu, setiap ahli gabungan FAM telah menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan kepada baginda yang telah dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden FAM.

Turut bertanding ialah penyandang jawatan, Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Difahamkan, hanya empat perwakilan iaitu PBNJ, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak hadir pada pertemuan tertutup itu.

"Boleh dikatakan hampir 80 peratus telah memberikan sokongan penuh kepada Tengku Abdullah.

"Tengku Abdullah adalah calon paling ideal dan layak. Kami percaya dan yakin dengan pengalaman serta kepakaran baginda, FAM akan terus maju serta lebih berdaya saing.

"Apa yang pasti, Kongres FAM ke-50 semakin menarik malah menjanjikan kelainan berbanding sebelum ini," kata sumber tersebut kepada Kosmo! semalam.

Sebelum ini, Tengku Abdullah dikatakan menerima pencalonan terbanyak daripada ahli-ahli gabungan untuk bertanding jawatan Presiden FAM bagi penggal 2014-2018.

Tengku Abdullah menerima 12 pencalonan diikuti Sultan Ahmad Shah (lima) dan Tunku Ismail sebanyak tiga pencalonan.

Lebih menarik, ini merupakan pertama kali peminat-peminat bola sepak tempatan menyaksikan jawatan Presiden FAM dipertandingan dalam tempoh 30 yang mana penyandangnya, Sultan Ahmad Shah menang tanpa tanding sebelum ini.

Selain jawatan Presiden, FAM turut mengumumkan dua jawatan bagi Timbalan Presiden, Naib Presiden (empat) dan 10 ahli Exco yang terdiri dari lapan lelaki dan dua wanita turut dipertandingkan pada pemilihan kali ini.