Ketua tentera Thai berunding

BEBERAPA askar mengawal Kelab Tentera di Bangkok semalam.


BANGKOK - Panglima Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan O-Cha mengundang kumpulan-kumpulan yang terlibat dalam konflik politik Thailand untuk menghadiri satu mesyuarat semalam.

Ia mungkin kali pertama mereka duduk semeja selepas kemelut politik di negara ini tercetus beberapa bulan lepas.

Timbalan jurucakap tentera, Kolonel Sirichan Ngathong memberitahu, Prayuth yang juga Ketua Markas Pemuliharaan Keamanan dan Ketenteraman (POMC) mengundang pihak-pihak yang terlibat untuk berbincang mengenai krisis politik yang berpanjangan sehingga sekarang.

Kabinet sementara Thailand diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Pongthep Thepkanchana dan Menteri Keadilan Chaikasem Nitisiri.

Pihak tentera turut mengundang Pengerusi Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD), Jatuporn Prompan dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Thaugsuban.

Kedua-duanya merupakan pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan di Thailand.

Pertemuan itu diadakan di Kelab Tentera di sini selepas pihak tentera menguatkuasakan undang-undang tentera kelmarin di seluruh Thailand untuk mengelak situasi dalam negara itu terus merosot seperti di Ukraine dan Mesir.

Ketidakstabilan politik di Thailand bermula sejak enam bulan lalu apabila kumpulan penunjuk perasaan dan antikerajaan menentang Yingluck Shinawatra sebagai Perdana Menteri.

Yingluck kemudian meletakkan jawatan selepas Mahkamah Perlembagaan mendapati beliau bersalah terlibat dengan pertukaran jawatan seorang pegawai tinggi kerajaan.

Tempat beliau kemudian diambil alih oleh Menteri Perdagangan, Niwatthamrong Boonsongphaisan.

Pada pertemuan yang diatur Prayuth itu, kedua-dua pihak yang bertentangan dan beberapa pegawai kanan lain bertemu selama lebih dua jam di bawah kawalan ketat pasukan keselamatan di sini.

Namun, tiada sebarang persetujuan dicapai dalam rundingan tersebut yang dipengerusikan sendiri oleh Prayut.

Pusingan kedua rundingan serupa akan diadakan hari ini pada pukul 2 petang waktu tempatan.

"Setiap orang bersetuju untuk menimbang cadangan kumpulan lain bagi mencapai satu persetujuan bersama demi negara," kata Sirichan.

Menurutnya, seramai 40 orang menghadiri pertemuan tersebut.

Prayuth membawa kedua-dua pihak yang bermusuh itu ke meja rundingan selepas meningkatnya tekanan yang diketuai oleh Amerika Syarikat supaya ketenteraman awam dikembalikan di negara ini.

Ia berikutan AS dan sekutu-sekutunya bimbang pelaksanaan perintah darurat akan mengancam sistem demokrasi di negara Asia Tenggara itu.

Sebelum ini, pihak tentera berulang kali campur tangan dalam politik dalaman di Thailand. - Agensi