Lelaki mirip Putera Harry cari jodoh


HICKS


LOS ANGELES - Sebuah program realiti mencari jodoh menampilkan sekumpulan 12 wanita bersaing sesama sendiri untuk merebut cinta seorang pemuda yang memiliki wajah mirip pewaris keempat takhta diraja Britain, Putera Harry.

Program realiti televisyen yang bertajuk, I Wanna Marry Harry itu mula disiarkan di stesen televisyen Fox, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Seorang perunding alam sekitar dari Britain, Matt Hicks yang mempunyai wajah seiras putera raja berusia 29 tahun itu akan memilih jodohnya pada program tersebut.

Hicks, 24, berkata, dia berdepan cabaran untuk berlakon menjadi Putera Harry kerana semua peserta dalam program tersebut yakin bahawa mereka sebenarnya cuba menawan hati putera berkenaan.

Misi Hicks dari Hertfordshire, Britain selama lima minggu itu adalah untuk meyakinkan semua peserta bahawa dia merupakan Putera Harry yang sebenar.

Apabila program tersebut berakhir, dia perlu mendedahkan identitinya kepada seorang pemenang.

Hicks yang pernah belajar di Universiti Southampton dalam jurusan kelautan dan geologi itu berharap wanita tersebut dapat menerima dirinya yang sebenar.

Antara peserta program itu ialah Rose yang merupakan seorang guru sekolah cantik berusia 22 tahun dan Karina iaitu seorang pelajar berusia 25 tahun yang sedang mengambil jurusan PhD dalam bidang terapi fizikal.

Hicks berkata, dia tidak menganggap program itu sebagai kejam atau cuba menipu para peserta walaupun dia berlakon sebagai Putera Harry.

"Mereka (peserta) bukanlah seorang yang lemah dan mudah menangis. Kami semua akan ketawa apabila semua itu akan berakhir," katanya. - Reuters