Karisma graduan UniKL


BANTUAN membersihkan kawasan banjir di Kuantan, Pahang pada Januari lalu turut melibatkan para pelajar UniKL.


KECEMERLANGAN seseorang pelajar atau mahasiswa tidak bergantung kepada pencapaian akademik yang tercatat di atas kertas ijazah semata-mata.

Sebaliknya, kecemerlangan cenderung kepada kualiti perwatakan dalam diri seseorang melibatkan nilai-nilai kekuatan spiritual, kecerdasan emosi dan kesihatan fizikal.

Kombinasi positif antara pencapaian akademik dengan tingkat spiritual, emosi serta fizikal akan membantu menjadikan seseorang itu lebih cemerlang.

Bagi memastikan pelajar berupaya mencapai definisi kecemerlangan sewajarnya, mereka perlu diberi asuhan terhadap nilai-nilai yang membentuk peribadi cemerlang.

Timbalan Presiden Pembangunan Mahasiswa dan Kehidupan Kampus, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Dr. Khairanum Subari berkata, definisi cemerlang lebih terarah kepada kecenderungan melaksanakan kebaikan.

“Kecenderungan dan kesungguhan untuk melakukan kebaikan dalam pekerjaan itu terbit daripada jiwa yang murni. Manakala, perwatakan yang didorong oleh kemurnian hati pula dipengaruhi oleh kekuatan spiritual.

“Dalam usaha membina kecemerlangan (termasuk pelajar dan anak-anak kecil), perwatakan mereka wajar dicorakkan secara rohani, jasmani dan emosi,” kata beliau.

Reaktif terhadap pengertian kecemerlangan yang tidak melibatkan akademik secara menyeluruh itu telah mendorong Khairanum serius melibatkan diri membina modul khusus bagi membentuk keperibadian para mahasiswa UniKL.

MAHASISWA UniKL membersih dan menyumbangkan kelengkapan surau semasa Misi Kemanusiaan di Banda Acheh, Indonesia pada April lalu.


Menerusi Modul Kemanusiaan UniKL, sebanyak 20 nilai kecemerlangan termasuk kepimpinan, keupayaan membuat keputusan dan tidak mementingkan diri sendiri disasar untuk diasuh dalam kalangan mahasiswa.

“Untuk memasukkan semua nilai itu ke dalam diri pelajar, mereka dibawa menyertai Misi Kemanusiaan UniKL mengikut beberapa peringkat dan kumpulan.

“Antara yang dilaksanakan ialah misi bantuan mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan pada awal tahun baru-baru ini. Ia bagi menjadikan mereka memiliki sikap bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Misi kemanusiaan

“Selain itu, mereka juga dilibatkan untuk membantu mangsa gempa bumi di Banda Acheh, Indonesia serta misi bantuan mangsa taufan Haiyan di Filipina,” katanya.

Tambah beliau, penilaiannya juga mendapati para pelajar berkenaan semakin menunjukkan peningkatan sikap yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Ujar Khairanum, pihaknya turut memantau profil para pelajar untuk memastikan mereka memiliki semua nilai kecemerlangan sebelum menamatkan pengajian.

“Sebagai contoh, apabila mendapati seseorang pelajar itu belum mempunyai nilai kepimpinan yang cukup kuat, dia akan dilibatkan dalam program yang boleh membentuk daya kepimpinan.

“Di samping melahirkan generasi bijak pandai dan berkemahiran tinggi, kita juga komited untuk memastikan mereka menjadi golongan profesional, anggota masyarakat serta pemimpin yang cemerlang,” ujarnya.


SALAH seorang mahasiswa UniKL mengira naskhah al-Quran yang akan diagih kepada penduduk di Acheh.


Menurut Khairanum lagi, langkah menaik taraf Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniKL kepada Jabatan Pembangunan Mahasiswa dan Kehidupan Kampus juga didorong kesungguhan untuk melahirkan generasi graduan cemerlang.

Kira-kira 23,000 pelajar sedang mengikuti kursus diploma dan ijazah dalam 50 program pengajian teknologi, kejuruteraan, multimedia serta pentadbiran penerbangan di semua 12 kampus di seluruh negara.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2002, UniKL menyediakan peluang pengajian tinggi kepada golongan pelajar daripada pelbagai latar belakang berbeza.

Ia termasuk memberi kemudahan pengajian kepada para pelajar yang kurang berkemampuan menerusi pinjaman pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Mengulas lanjut, Khairanum memberitahu, para pelajar akan lebih bersedia untuk menempuh alam pekerjaan serta menjadi anggota masyarakat yang baik sekiranya diasuh sejak di bangku pengajian.

“Sangat ramai individu yang terdedah kepada teknologi moden hari ini lebih mementingkan diri sendiri dan sudah tidak gemar bergaul dengan orang lain.

“Jika para pelajar dipersiap dengan secukupnya, mereka diharap mampu memimpin dan mengajak orang ramai kembali hidup bermasyarakat.

“Masyarakat yang cemerlang pula ialah terdiri daripada orang yang saling memahami, sama-sama membantu dan bekerjasama,” kata beliau.