Perlis sudah bersedia

KOLAM renang di Pusat Akuatik Kangar kini sudah bersedia untuk digunakan pada Sukma 2014.


GELANGGANG Sukan Malaysia (Sukma) 2014 bakal membuka tirai esok. Temasya tahunan itu yang dihoskan oleh Perlis pada tahun ini akan membuka tirai dengan acara pencak sebagai acara pembuka gelanggang.

Temasya kali ini melibatkan penyertaan 6,700 atlet serta pegawai dari seluruh negara termasuk kontinjen dari Brunei, dan mereka akan beradu tenaga sehingga 4 Jun nanti bagi memburu 421 pingat emas yang ditawarkan.

Pada temasya kali ini, sebanyak 25 acara akan dipertandingkan dan kontinjen Selangor selaku juara bertahan, akan sekali lagi menjadi tumpuan sementara Terengganu yang pernah bergelar ‘gergasi Sukma’ sebelum ini bertekad untuk merampas semula gelaran tersebut.

Perjalanan Perlis untuk mementaskan temasya sukan terbesar di Malaysia itu penuh dengan pelbagai dugaan.

Seribu satu macam kontroversi yang mereka alami berhubung kemudahan yang dilihat tidak dapat digunakan pada Sukma kali ini.

Tumpuan utama adalah Kompleks Akuatik di Kangar kerana kerja-kerja pembinaannya mengundang pelbagai persoalan daripada ramai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Namun, kerajaan Perlis dengan penuh semangat berjaya melunaskan janji mereka bahawa kompleks tersebut akan siap sebelum bermulanya Sukma 2014.

Di sebalik pelbagai dugaan yang dihadapi, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berulang kali memberi jaminan bahawa semua acara tidak akan diadakan di luar Perlis kerana kerajaan negeri telah memberikan komitmen 100 peratus untuk menjayakannya.

“Kita terima atlet, pegawai dan peminat sukan negara dengan lapang dada. Kami akan menyambut semua tetamu dengan mesra kerana peluang ini tidak mungkin berlaku setiap tahun.

“Saya juga berharap segala kekurangan diterima seadanya oleh kontinjen yang hadir kerana kami berusaha keras untuk menjadikan penganjuran ini yang terbaik,” kata Azlan.

Bahang kehangatan Sukma ini telah mula dirasai dengan program larian baton Sukma 2014 yang diadakan di setiap daerah di Perlis bagi menyuntik semangat penduduk untuk sama-sama meraikan temasya yang julung kali berlangsung di negeri tersebut.

Selain menawarkan khidmat serta kemudahan terbaik, Perlis juga menyediakan perkampungan sukan yang selesa untuk semua kontinjen kerana beberapa institusi menawarkan penginapan yang mencukupi termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Soal keselamatan menjadi intipati utama bagi para atlet dan pegawai di perkampungan sukan.

“Pihak kami telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua pintu masuk bagi mengawasi pergerakan para atlet dan pegawai,” kata Azlan.

Apa yang pasti, Perlis yang mempunyai kira-kira 250,000 penduduk pasti berbangga kerana menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar negara itu.

Majlis perasmian akan disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 26 Mei sementara penutupan pula dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Jun.