Peminat Arsenal gamatkan pawagam


PARA penyokong bersorak keriangan apabila Arsenal berjaya menjulang trofi Piala FA.


KELAB rasmi penyokong bola sepak Arsenal di Malaysia, Arsenal Malaysia (AM) melakukan sesuatu di luar kebiasaan apabila menganjurkan acara menonton aksi final Piala FA melibatkan pasukan The Gunners menentang Hull City di panggung wayang.

Lebih 300 peminat tegar kelab Liga Perdana England (EPL) itu hadir menggamatkan pawagam MBO di Citta Mall, Petaling Jaya, Selangor pada 17 Mei lalu untuk meraikan pasukan kesayangan mereka mara ke perlawanan akhir di Stadium Wembley buat pertama kali sejak 2011.

Presiden AM, Azman Shah Mohidin mendedikasikan acara unik itu khusus buat ahli berdaftar AM yang ingin melihat skuad kendalian Arsene Wenger itu menamatkan penantian Arsenal selama sembilan tahun tanpa menjulang sebarang trofi.

“Acara ini merupakan kali kedua kami anjurkan dalam tempoh dua tahun setelah pertama kali diadakan pada November 2012 sewaktu perlawanan menentang musuh tradisi, Tottenham Hotspur.

“Selepas itu, peminat sering bertanya bila acara seperti ini akan dijalankan lagi kerana atmosferanya ternyata berbeza berbanding menonton di kedai mamak atau di rumah,” ujar Azman yang menyokong Arsenal sejak zaman kanak-kanak lagi.

Percuma

Tambah Azman, AM merupakan kelab peminat bola sepak yang pertama di Malaysia yang berani menganjurkan acara seumpama itu dan lebih menarik tiket diberikan secara percuma.

“Jika sebelum ini, para penyokong dikenakan bayaran untuk menonton perlawanan yang melibatkan Arsenal di layar lebar, kali ini kami mengedarkan tiket secara percuma asalkan penyokong menjadi ahli berdaftar AM,” katanya.

AM yang ditubuhkan sejak 1999 telah diiktiraf secara rasmi oleh kelab berpangkalan di London itu pada tahun 2010.


AKSI penyokong ini berjaya mencuri lensa Kosmo!.


Seorang peminat, Mohd. Aziruddin Abdullah, 31, berkata, kesempatan tersebut merupakan peluang terbaik baginya untuk berkongsi kegembiraan bersama penyokong Arsenal khususnya di Lembah Klang.

“Saya meminati Arsenal sejak zaman The Invincibles dan ini merupakan kali pertama saya dan rakan-rakan menyertai acara menonton bola bersama komuniti AM.

“Ternyata ia merupakan satu pengalaman yang berbeza sekali gus memberi kelainan yang tersendiri apabila melihat perlawanan bola sepak di dalam pawagam,” kata Aziruddin yang meminati pemain tengah Arsenal dari Republik Czech, Tomas Rosicky.

Aktiviti lain

Selain menganjurkan acara menonton semua perlawanan yang melibatkan Arsenal, AM juga turut mengadakan pelbagai aktiviti lain yang dapat mengeratkan silaturrahim sesama ahli.

“Kami mempunyai lokasi rasmi sebagai Home of Arsenal Malaysia di sebuah restoran di Damansara Perdana, Petaling Jaya. Kami berkumpul beramai-ramai setiap minggu dan ianya terbuka kepada semua peminat The Gunners walaupun mereka bukan ahli berdaftar,” sambung Azman lagi.

Azman menambah, AM turut menganjurkan aktiviti sampingan lain seperti mendaki Gunung Kinabalu pada Februari lalu, selain menonton perlawanan yang melibatkan Arsenal di Eropah.

“Kelab ini menyediakan salah satu peluang terbaik untuk menyatukan penyokong Arsenal di Malaysia,” luah Azman yang ternyata gembira apabila skuad The Gunners berjaya menewaskan The Tigers 3-2.

Acara pada malam tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid selain aktiviti cabutan bertuah.

Orang ramai khususnya peminat Arsenal yang berminat menjadi ahli berdaftar AM, bolehlah melayari laman web www.arsenalmalaysia.com atau Facebook di www.facebook.com/ArsenalMalaysia.