Stacy bukan Miley Cyrus

STACY menyifatkan imejnya sekarang sebagai sesuatu yang segar.


TAMPIL dengan rambut pendek berwarna perang, Stacy kelihatan sungguh segar dan juga stailo pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul #1.

Jika sekali pandang, pemilik nama Stracie Angie Anam saling tidak tumpah seperti penyanyi antarabangsa Miley Cyrus. Bagaimanapun, Stacy yang ditemui pada majlis sidang akhbar menafikan dia meniru imej Miley.

Ironinya, menatap kulit album #1, Stacy memang tidak boleh lari daripada disamakan dengan Miley kerana penyanyi antarabangsa itu pernah merakam gambar dengan cara yang serupa. Cuma bezanya, Miley menggunakan tali amaran berwarna kuning manakala Stacy tali warna merah.

Mungkin Stacy bimbang disamakan dengan Miley kerana reputasi buruk dan negatif yang dibawakan penyanyi berasal dari Amerika itu. Namun, jika disamakan dari segi imej fesyen serta kejayaan kerjaya seni Miley, rasanya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan Stacy.

Ini jawapan Stacy apabila diajukan soalan tentang meniru imej Miley: “Saya tidak meniru imej mana-mana artis yang dikaitkan dengan saya. Apabila saya memotong rambut sebegini ramai yang beranggapan saya mahu meniru Miley.

“Kalau ikutkan rambut sebegini sudah lama menjadi fesyen. Mungkin sekarang Miley dan rambut pendek tengah popular, jadi secara tidak langsung, saya dikaitkan dengan dia.

“Sebenarnya tiada apa pun yang sama. Saya cuba menampilkan konsep yang baru serta imej yang lebih segar untuk album ini.”

Berbicara tentang album #1, Stacy tidak dapat berselindung terdapat kebimbangan di hatinya memandangkan harapan tinggi yang diberi peminat kepadanya.

Justeru itu, rakaman album ini mengambil masa yang agak panjang kerana Stacy inginkan kualiti dan kepuasan.

“Album ini mula dirakam pada Oktober tahun lalu. Masa yang diambil agak lama berbanding album sebelum ini kerana tidak mahu merakam album secara tergesa-gesa.

“Setiap butiran yang ada dalam ini dilakukan dengan penuh teliti. Sejujurnya, album ini membuatkan saya gementar kerana konsepnya agak berbeza. Bimbang tidak diterima peminat,” katanya.

Selain lagu Hello duet bersama kumpulan Smash, lagu Gila Lah! hasil tulisan Stacy turut mendapat sambutan hangat sejak mula diputarkan di radio.

Ujarnya, itu merupakan langkah pertamanya dalam bidang penulisan lirik dan tidak menyangka pihak pengurusannya ingin menjadikan lagu itu sebagai lagu single keduanya.

“Apa yang sukar buat saya ialah menyusun ayat dengan baik. Lain daripada itu, bagi saya tidak sukar kerana saya menulis hanya mengikut hati sendiri.

“Sebab itu album ini sangat istimewa buat saya. Sepanjang menjadi penyanyi rasanya ini kali pertama saya terlibat secara langsung dalam pembikinan album,” ucapnya.

Stacy yang kini berusia 24 tahun dan mula menyanyi pada usia 18 tahun menjelaskan kematangan dirinya dapat dilihat menerusi seleksi lagu yang terkandung dalam album #1.

“Peminat dapat menyaksikan perubahan kematangan diri saya sebagai penyanyi dan wanita menerusi album #1. Masih lagu yang rancak tetapi amat berbeza daripada lagu sebelum ini,” luahnya tentang album yang mengandungi dua buah lagu balada itu.

Dalam pada itu, Stacy yang popular di Indonesia menerusi lagu duetnya bersama kumpulan Smash memberitahu, dia juga akan meluaskan sayap seninya di sana dalam masa terdekat.

“Lagu Hello menjadi tapak untuk saya dikenali di Indonesia. Jika tiada aral, mungkin tahun ini juga saya akan melancarkan album di sana,” balasnya.

Selain Malaysia, album #1 yang mengandungi 10 buah lagu iaitu #1, Gila lah!, Jeritan, Gadis Dalam Aku, Not For Sale feat. Altimet, Lari, Patah, Paranormal, Tertanya dan Hello feat. Smash turut akan dipasarkan di Singapura, Indonesia dan juga Brunei.

Sementara itu, pada majlis pelancaran album yang berlangsung di Zouk, Kuala Lumpur, Stacy menyanyikan sebanyak lapan buah lagu.

Majlis yang berlangsung ala pertunjukan mini itu turut dihadiri oleh peminat setianya yang datang dari seluruh Malaysia selain Singapura.