Izreen tunggu keputusan mahkamah

IZREEN enggan komen tentang status terkini dirinya.


MINGGU lalu kecoh tentang pelakon Izreen Azminda, 29, yang didakwa telah diceraikan suaminya, Muhamad Riza Baharuddin, 31, di set penggambaran sebuah drama di Pulau Pinang.

Muhamad Riza dikatakan bertindak melafazkan cerai talak selepas berlaku pertengkaran antaranya dan Izreen, malah pelakon itu juga didakwa telah mengesahkan berita perceraian tersebut.

Muhamad Riza dalam kenyataan balas kepada sebuah portal hiburan bagaimanapun menafikan bahawa dia dan pelakon drama bersiri Juvana itu telah bercerai. Dia sebaliknya menegaskan, tidak berlaku sebarang lafaz talak pada tarikh 16 Mei di lokasi penggambaran tersebut.

Bagaimanapun, Muhamad Riza mengesahkan bahawa dia telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu dan masih menunggu tarikh untuk sebutan kes.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Adrian Umar, 10 bulan.

Kosmo! berkesempatan bertemu dengan Izreen ketika acara karpet merah Anugerah Bintang Popular 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini mendapatkan komen lanjut. Ikuti temu bual berikut.

Kosmo!: Izreen terlebih dahulu mengesahkan dakwaan anda diceraikan suami (Muhamad Riza) dalam sebuah akhbar minggu lalu, namun dia menafikannya itu. Apakah komen anda?

IZREEN AZMINDA: Buat masa ini, saya tidak mahu komen lanjut tentang perkara ini, beri kami ruang untuk menyelesaikan perkara ini mengikut undang-undang yang betul dan sampai satu masa saya akan beritahu cerita sebenar.

Apakah status terkini anda?

Saya tidak mahu menjawab lagi mengenai status saya sekarang sebab saya perlu tunggu keputusan mahkamah. Kemudian saya akan beritahu.

Betulkah dakwaan bahawa anda dan suami bergaduh di set penggambaran di Pulau Pinang pada 16 Mei lalu?

Kami ada berbincang pada malam kejadian dan saya tidak mahu komen lebih-lebih sebab nanti akan ada banyak kenyataan negatif diperkatakan dan saya tidak mahu ia berpanjangan.

IZREEN dan Muhammad Riza berkahwin pada30 Ogos 2012.


Adakah benar suami anda melafazkan cerai di lokasi kejadian?

Saya tidak mahu komen.

Sudah berapa lama masalah rumah tangga anda berlaku?

Kami sudah tidak tinggal sebumbung selama sebulan tapi selainnya saya tidak mahu komen lebih.

Ada pihak yang menyebarkan cerita ini terlebih dahulu, adakah anda akan mengambil tindakan kepada pihak terbabit?

Saya perlu selesaikan urusan saya dan barulah saya akan fikirkan hal itu kemudian.

Selepas keluar berita berkenaan, adakah suami anda masih menghubungi anda untuk mendapatkan penjelasan?

Kami tetap akan berhubung sebab anak dan buat sementara waktu saya tidak mahu berbincang apa-apa lagi berkaitan perkara ini. Kami sudah berbincang dan akan memberikan kata putus apabila sudah ada keputusan muktamad.

Anak anda sekarang dijaga siapa?

Saya sendiri.

Bilakah kes mahkamah itu akan dibicarakan?

Saya akan maklumkan kemudian.