Mohd. Asrul berdarah perwira



BERGELAR cicit saudara kepada seorang perwira negara, Leftenan Muda Adnan Saidi yang terkorban dalam pertempuran di Bukit Chandu, Singapura demi mempertahankan tanah air, menggamit rasa syahdu dalam diri Mohd. Asrul Halim Ahmad.

Meskipun tidak berpeluang bersua muka dengan moyang saudaranya itu, Mohd. Asrul Halim dapat merasakan darah pejuang mengalir dalam dirinya.

Apatah lagi, apabila ramai yang mendakwa wajah lelaki berusia 30 tahun itu sangat mirip dengan Leftenan Muda Adnan apabila gambar mereka digandingkan.

Ironinya, di sebalik persamaan wajah tersebut, ada kisah yang mungkin menjadi penyebabnya.

Menurut Mohd. Asrul, sewaktu ibu mengandungkannya, bapanya begitu berminat mengumpulkan gambar-gambar lama Leftenan Muda Adnan sejak beliau kecil hinggalah dewasa.

"Koleksi gambar tersebut kemudian disimpan dalam sebuah album yang turut menceritakan kisah perjuangan beliau. Mungkin disebabkan itulah muka saya ada iras dengannya," kata Mohd. Asrul ketika ditemui Kosmo! di Kampung Sungai Merab Tengah, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun, album tersebut tiada dalam simpanan mereka kerana telah diberi kepada wakil sebuah agensi media dari Singapura yang mahu meminjamnya sebagai rujukan ketika mengunjungi keluarganya pada tahun 1994.

Malangnya, album berkenaan yang sepatutnya menjadi warisan berharga kepada keturunan Leftenan Muda Adnan itu tidak dipulangkan hingga kini.


LEFTENAN MUDA ADNAN


Waris

Dilahirkan pada 29 Mac 1984, Mohd. Asrul merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Ayahnya, Ahmad Abdullah, 55, merupakan cucu kepada Fatimah Saidi iaitu kakak kepada Leftenan Muda Adnan.

Selain Fatimah, Leftenan Muda Adnan mempunyai empat adik lelaki iaitu Ahmad, Hashim, Amarullah dan Dahlan. Dua adiknya, Ahmad dan Amarullah juga merupakan anggota tentera.

Namun, Ahmad terkorban dalam pertempuran selepas memasuki tentera laut pada tahun 1939. Kapalnya, HMS Pelanduk ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia.

Bagi Mohd. Asrul, dia mula mengetahui sejarah Leftenan Muda Adnan pada usia 10 tahun. Ketika itu, keluarganya sering menceritakan kisah moyang saudaranya yang sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir semata-mata untuk mempertahankan Bukit Chandu.

Kemudian, ketika berada di sekolah menengah (tingkatan dua), dia ada terbaca buku sejarah yang termasuk dalam sukatan pelajaran tentang keberanian Leftenan Muda Adnan sekali gus melonjakkan semangatnya untuk bergelar askar apabila dewasa kelak.

"Apabila mengetahui susur galur keturunan yang mempunyai darah perwira, saya turut memasang cita-cita untuk menjadi anggota tentera. Namun, impian tersebut terpaksa saya lupakan lantaran nenek sebelah ayah tidak mengizinkan.

"Selepas arwah nenek meninggal pada tahun 2011, memang saya ada cuba memohon untuk memasuki tentera tetapi gagal kerana sudah melebihi usia yang ditetapkan," jelasnya yang berusia 27 tahun ketika membuat permohonan tersebut.


KEBERANIAN dan semangat juang Askar Melayu dalam menentang penjajah perlu diserap oleh generasi muda masa kini.


Meskipun agak kecewa kerana cita-citanya tidak tercapai, Mohd. Asrul tidak berputus asa dalam menjalani kehidupan. Sebaliknya bapa kepada dua orang cahaya mata ini yakin dengan setiap ketentuan Allah.

"Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya reda dan menerimanya dengan hati terbuka. Apa yang penting, usai solat lima waktu, saya tidak pernah lupa menghadiahkan al-Fatihah khusus buat moyang saudara saya itu.

"Malah, setiap tahun keluarga kami akan membuat majlis tahlil dan doa selamat untuk arwah Leftenan Muda Adnan yang jenazahnya tidak dapat disemadikan mengikut syarak kerana mayatnya tidak ditemui selepas pertempuran berdarah itu," tuturnya yang bekerja di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai juruukur hak milik.

Kenangan

Dalam pada itu, Ahmad mengakui apabila terkenangkan pengorbanan datuk saudara bersama anggota pasukan askar Melayu ketika itu, hatinya bergetar.

Marah, geram, sedih dan sayu bercampur-baur dalam dirinya. Namun, sebagai umat Islam, dia tetap akur dengan qada dan qadar Allah.

"Rasa marah saya pada tentera Jepun sukar untuk padam dalam jiwa. Walaupun sudah 72 tahun peristiwa ini berlaku, ia seperti terbayang-bayang di fikiran bagaimana suasana pertempuran yang dihadapi Leftenan Muda Adnan.


MOHD. ASRUL bersama isteri dan anak-anak bangga kerana mempunyai hubungan darah dengan pejuang negara, Leftenan Muda Adnan.


"Doa saya, moga roh beliau tenang di alam sana dan dihimpunkan bersama para syuhada meskipun matinya tanpa kubur sebagai tanda," ungkap Ahmad yang memakai gelang peluru mortar sebagai lambang semangat cucu seorang perwira.

Tambah Ahmad, beliau juga bersyukur kerana jasa dan pengorbanan Leftenan Muda Adnan masih dihargai oleh pihak kerajaan.

"Ini termasuklah menamakan sebuah sekolah di Kajang dan kereta perisai tentera sempena nama Leftenan Muda Adnan," ujarnya.

Kepada mereka yang mahu menyusuri perjuangan Leftenan Muda Adnan, bolehlah mengunjungi Memorial Reflections di Bukit Chandu, Singapura yang mengabadikan banyak sejarah Perang Dunia Kedua di sana.