Gores dan menang, lapan lelaki ditahan

26/05/2014 9:15pm

KOTA BHARU - Polis menahan lapan lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket penipuan gores dan menang yang semakin berleluasa sekitar bandar ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pihaknya mengesan kegiatan sindiket itu sejak awal tahun ini.

"Setakat ini kita telah menahan 13 individu, termasuk lapan yang ditahan semalam. Suspek yang ditahan berumur antara 20 dan 30-an dan kami dapati mereka menyasarkan pelanggan pusat beli-belah sebagai mangsa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu hari ini.

Azham berkata, turut diterima aduan berhubung ugutan yang didakwa dilakukan anggota sindiket itu.

"Modus operandi mereka adalah menawarkan pelanggan satu kad untuk digores dan apabila digores, mangsa diminta ke pejabat mereka untuk menuntut hadiah yang dimenangi.

"Apabila tiba di pejabat, mangsa akan diminta membayar sejumlah wang bagi menebus hadiah terbabit," katanya sambil menambah kesemua suspek kini ditahan reman tiga hari mulai semalam untuk siasatan lanjut. - Bernama