Toyota Wish dipercayai rempuh polis ditemui terbakar di Ara Kuda

26/05/2014 10:29pm

TASEK GELUGOR - Sebuah kereta Toyota Wish dipercayai milik penyamun yang merempuh dua anggota polis di Batu 10 menghala Alor Pongsu, di Perak ditemui terbakar dalam kebun pisang di Ara Kuda di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, kereta berwarna kelabu itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada kira-kira 5.30 petang.

"Kami mendapat maklumat daripada polis Kedah memaklumkan sebuah kereta yang dipercayai milik kumpulan penyamun terbabit masuk ke kawasan SPU dan pasukan polis di sini menjalankan Ops Tutup.

"Kira-Kira pukul 5.30 petang, polis dapat panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan sebuah kereta jenis Toyota Wish sedang terbakar dalam sebuah kebun.

"Nombor pendaftaran kenderaan itu ditanggalkan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, usaha mengesan pemilik kereta itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kami minta orang ramai atau saksi yang melihat bagaimana kereta itu berada di kawasan berkenaan dan terbakar supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari tadi, seorang anggota polis maut manakala rakannya parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan penyamun di Batu 10 menghala Alor Pongsu, Perak.

Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dua anggota polis itu dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Wish dengan nombor pendaftaran WRV 5308 iaitu satu daripada dua kenderaan dinaiki penjenayah yang baru sahaja merompak sebuah van rokok. - Bernama