Ceti haram pikat tahi judi bola

KEJOHANAN Piala Dunia 2014 di Brazil turut menarik perhatian ceti haram dengan menawarkan pinjaman kepada kaki judi.


KUALA LUMPUR - Ketika kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2014 di Brazil hanya tinggal 16 hari sahaja lagi, kumpulan ah long atau ceti haram dijangka membuat tawaran pinjaman wang secara agresif kepada tahi judi bagi mengaut keuntungan secara besar-besaran dua hari sebelum bermulanya temasya tersebut.

Bagi kumpulan ceti haram itu, peluang empat tahun sekali itu perlu digunakan sepenuhnya dengan menyasarkan golongan yang berusia antara 30 hingga 50 tahun sebagai peminjam selain ada yang sanggup menjadikan pelajar sekolah menengah sebagai sasaran mereka.

Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong ketika mendedahkan perkara itu memberitahu, jumlah peminjam akan meningkat sehingga 50 peratus setiap kali menjelang perlawanan Bola Sepak Piala Dunia berbanding hari-hari biasa.

"Ah long akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan faedah yang tinggi ke atas kaki judi yang sanggup menuruti syarat-syarat yang dikenakan.

"Bagi pihak peminjam pula, mereka rela mengambil risiko demi mendapatkan wang segera untuk memenuhi tuntutan nafsu judi mereka walaupun menyedari bahawa tindakan itu bakal akan membawa padah untuk jangka masa panjang," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata Wilson, berdasarkan rekod pihaknya pada tahun 2010, sebanyak lapan kes kaki judi dilaporkan gagal menjelaskan hutang mereka kira-kira RM2 juta dengan RM15,000 daripada pinjaman itu dibuat oleh golongan pelajar.


IKLAN pinjaman wang daripada ah long kini semakin berleluasa dalam usaha mereka untuk menarik kaki judi membuat pinjaman dengan mereka. - Gambar hiasan


"Pinjaman yang diberikan kepada golongan pelajar menerusi orang tengah atau 'runner' adalah antara RM200 hingga RM1,000 dan kebiasaannya wang itu akan diminta daripada ibu bapa peminjam apabila mangsa gagal melunaskan hutang tersebut.

"Bagi pinjaman individu pula, jumlah tertinggi yang direkodkan adalah sebanyak RM1 juta yang mana peminjam sanggup mencagarkan hartanahnya demi mendapatkan wang untuk berjudi," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.