Kulinari autentik Bumi Kenyalang


CEF SANNY bersama juadah unik dan menyelerakan yang dibawa khas dari Bumi Kenyalang.


TERKENAL dengan seni dan budaya tersendiri, Sarawak turut menawarkan hidangan unik yang sukar didapati di negeri lain. Menu seperti mi kolok, laksa Sarawak dan kek lapis Sarawak biasa didengar tetapi masih banyak makanan dari negeri itu yang mampu memenuhi gastronomi anda.

Sehubungan itu, kerjasama antara Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dan Kampung Budaya Sarawak memberi peluang kepada penduduk ibu kota untuk merasai keenakan kulinari autentik dari Bumi Kenyalang itu.

Diadakan selama seminggu bermula hari ini hingga 6 Jun ini, pengunjung bakal dihidangkan dengan deretan juadah daripada pelbagai suku kaum seperti Melayu, Dayak, Melanau dan Bidayuh.

Pengurus Besar Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, Mohamad Halim Merican berkata, dua orang cef berpengalaman dalam hidangan tradisional Sarawak dijemput khas bagi menyediakan kesemua masakan tersebut.

“Mereka akan menyelia proses penyediaan sambil dibantu oleh kumpulan cef hotel,” ujarnya ketika ditemui pada acara pelancaran Festival Budaya dan Makanan Sarawak 2014 di hotel tersebut baru-baru ini.

Antara jenis makanan yang bakal dihidangkan ialah umai, midin, manok pansuh, linut dan bubur pedas.

Selain itu, terdapat juga pilihan pencuci mulut seperti kelupis, pulut panggang, kuih celolot, tibuduk dan semestinya kek lapis Sarawak.


BUBUR pedas mudah didapati di Sarawak terutamanya pada bulan Ramadan.


Salah satu hidangan yang menarik perhatian adalah bubur pedas yang menggunakan lebih 10 jenis bahan termasuk daging, makanan laut, sayur-sayuran dan rempah Sarawak.

Sekali imbas, ia kelihatan seperti bubur lambuk tetapi uniknya bubur pedas langsung tidak menggunakan beras malah rasanya sedikit pedas, sesuai dengan namanya.

Salah seorang cef dari Kampung Budaya Sarawak, Cef Sanny anak Kalol, 42, memberitahu, ia merupakan hidangan yang menjadi kegemaran penduduk di Sarawak.

“Ia menarik kerana boleh dimakan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira masa,” kongsinya yang berasal dari Kuching.

Cef Sanny daripada suku kaum Bidayuh menzahirkan perasaan bangga kerana dapat memperkenalkan hidangan Sarawak kepada penduduk luar.

“Jika sebelum ini, masyarakat luar hanya mengetahui dua atau tiga jenis makanan tetapi sebenarnya banyak lagi hidangan yang terdapat di Sarawak,” katanya.

Keaslian cara masakan menjadi keutamaan Cef Sanny tetapi pada masa sama, dia turut melakukan beberapa perubahan mengikut selera tempatan.

“Namun demikian, perubahan itu tidak terlalu banyak beza daripada unsur tradisi,” katanya.

Selain itu, orang ramai boleh mengunjungi ruang pameran yang menjual barangan kraf tangan dari Sarawak selain diadakan persembahan tarian tradisional.