Mustaqim intai peluang



SEKALI pandang, wajahnya seiras pelakon dan model, Azrel Ismail, mungkin kerana senyumannya. Namun, apa yang membezakan Azrel dan Mustaqim adalah ketinggian mereka.

Kata Mustaqim atau nama sebenarnya, Mustaqim Bahadon, 29, wajah Azrel kalau sekali lihat nampak serupa dengannya tetapi pelakon drama rantaian Jodoh 2 itu enggan disamakan dengan sesiapa.

"Azrel sahabat saya dan kami menyokong karier masing-masing. Lebih manis kerana kami dilahirkan daripada program pencarian bakat majalah sama.

"Kami bersaing secara sihat, biar saya lambat menyerlah berbanding dia tapi mungkin sampai masanya nanti kami akan berdiri sebaris semula.

"Secara fizikalnya, Azrel lebih kelihatan seperti jejaka kacukan Latin tapi wajah saya pula keMelayuan. Begitu juga ketinggian saya yang sedikit berbeza berbanding dia," kata anak kelahiran Kangar, Perlis itu.

Lambat mula

Mendukung peranan seorang lelaki metroseksual, Raja Gufran dalam Jodoh 2, Mustaqim antara lainnya pernah membintangi drama Kalau Itu Jodoh Kita, Kasyaf, Rindu Bertamu Di Abu Dhabi, Lara Hati, Menantu Tiga Rasa, selain filem KL Gangster 2.

"Ini kali pertama saya melakonkan watak lelaki metroseksual yang terlalu cenderung menjaga penampilannya.

"Selain perlu sentiasa memakai lip gloss dan merapikan rambut, saya juga harus mengawal tutur kata saya supaya lebih berlapik apabila bercakap," katanya mengenai watak lakonannya dalam Jodoh 2.

Memulakan karier lakonannya selepas tamat program pencarian bakat sebuah majalah terkenal sekitar tahun 2009, kata Mustaqim, belum terlambat untuk dia mengintai peluang lebih cerah walaupun usianya hampir mencecah angka 30 tahun.

MUSTAQIM BAHADOM mengakui dia kini sedang berkawan rapat dengan seorang gadis kelahiran Indonesia.


"Memang saya bermula sedikit lambat kerana sebelum ini fokus saya tertumpu kepada keluarga saya. Saya ada strategi sendiri dalam dunia seni tapi saya tidak harus putus asa untuk terus mencuba.

"Mulanya saya susah mungkin kesudahannya akan manis," ujar lulusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektrikal Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra, Kedah itu.

Hantar tong gas

Mustaqim menyasarkan matlamat sendiri untuk berjaya dalam bidang perniagaan produk kesihatan yang sedang diusahakan secara persendirian, namun dia enggan membataskan diri untuk menceburi semua bidang di depan mata.

"Bukan bermakna saya tamak sampaikan mahu kejar semua benda tapi memandangkan langkah sulung saya bermula agak lewat, saya perlukan alternatif lain.

"Secara kecil-kecilan, saya memang meminati bidang perniagaan kerana seawal usia remaja lagi saya diajar untuk berdikari.

"Malah, demi mencari duit lebih ketika saya berusia 19 tahun, saya pernah bekerja sebagai penghantar tong gas dan membaiki telefon bimbit serentak setiap hari di Alor Setar, Kedah.

"Saya juga bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran ikan bakar dan menjual kain, bantal dan selipar di pasar malam sampai terlupa untuk menyambung pelajaran," katanya.

Lebih menyedihkan apabila bapanya, Bahadon Hamzah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru ketika Mustaqim sedang menduduki peperiksaan akhir di pusat pengajiannya.

FIGURA sasa ini mendedahkan ada produser lelaki mahu memanipulasi dirinya secara seksual.


Ajak ke ranjang

Berbahagi karier antara lakonan dan peragaan, kata Mustaqim, kedua-dua tuntutan itu tidak mengganggu susun atur jadualnya sehari- hari, sementelah dia kini diuruskan oleh pengurus peribadinya, Aina Liza sejak Disember tahun lalu.

"Tahun ini memasuki tahun keempat saya menjadi duta gedung kain Jakel Untuk mengimbangi karier berlakon dan peragaan rasanya tidak sukar kerana waktu saya fleksibel.

"Sepak terajang dunia peragaan tak sama dengan lakonan. Sesungguhnya dengan ketinggian saya yang cuma 184 sentimeter saya tidak mampu pergi jauh.

"Persaingan antara model lelaki yang jauh lebih tinggi terutama dengan model berwajah kacukan yang bukan calang-calang," katanya yang usai penggambaran iklan komersial Tia Amelia dan terbaharu Nescafe Ipoh White Coffee.

Begitu juga dunia lakonan. Pernah ada tawaran nakal daripada produser kepadanya andai mahu melakonkan peranan besar dalam sesebuah drama.

"Ajakan tidur bersama pernah saya terima tapi saya tolak dengan baik. Lebih mengejutkan kerana ada antaranya adalah produser lelaki.

"Andai itu caranya, lebih baik saya berlakon watak picisan saja. Saya kisah kalau lambat naik kalau perlu saya menggadaikan maruah saya untuk naik cepat," tegasnya yang memulakan langkah seiring pelakon sensasi, Shahz Jaszle suatu ketika dulu.

Cinta dua negara

Anak kelima daripada enam beradik itu mempunyai darah kacukan Cina sebelah ibunya dan akui Mustaqim, dia kini masih belum mempunyai teman wanita yang serius.

"Pernah beberapa kali gagal bercinta sebelum ini tapi bukan itu sebabnya untuk saya tiada teman istimewa. Sekarang saya sedang berkawan rapat dengan seorang gadis dari negara jiran, Indonesia.

"Senang cerita saya sifatkan hubungan ini adalah cinta jarak jauh yang sudah terjalin sejak empat tahun lalu dan kami selesa bersama.

"Dia menyenangkan saya dan tempat untuk saya mengadu kalau ada masalah, insya-Allah, kalau ada jodoh siapa tidak mahu berkahwin?

"Cuma, buat masa sekarang fokus saya adalah bekerja dan mengukuhkan kewangan sebelum memikirkan hal rumah tangga," jelasnya.