Perisian analisis risiko tanah runtuh


PROF. Dr. Fauziah (tengah) percaya USlopeM mampu memberikan input berguna dalam menyelesaikan masalah di kawasan cerun,


HUJAN lebat dan pembangunan pesat di kawasan cerun bukit menyebabkan kita sentiasa terdedah dengan risiko tanah runtuh. Malah, bencana yang turut menyebabkan kerosakan teruk harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa itu sering terpampang di media massa.

Antara kejadian tanah runtuh yang menjadi tumpuan adalah di Highland Towers, Hulu Klang, Selangor pada 11 Disember 1993; jalan susur Genting Highlands (30 Jun 1995); Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor (6 Disember 2008) dan perumahan lereng bukit Bandar Ramai-Ramai, Kampung Gelam dan Kampung Sundang Darat di Sandakan, Sabah (29 Januari 2011).

Sehubungan itu, penyelidik dan pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Fauziah Ahmad telah menghasilkan sebuah perisian bagi mengkaji keselamatan sesuatu cerun.

Perisian kestabilan cerun inovatif yang dikenali sebagai USlopeM itu dianggap sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia dapat menganalisis keselamatan dan kestabilan cerun berdasarkan beberapa lapisan tanah.


KEJADIAN tanah runtuh memberi kesan terhadap infrastruktur dan kehidupan kawasan sekeliling.


“Perkara paling penting dalam analisis seperti ini ialah faktor keselamatan berdasarkan permukaan gelinciran,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

USlopeM digunakan untuk menganalisis keselamatan cerun berdasarkan data rekod kajian tanah daripada aspek geologi dan geomorfologi. Ia juga mampu mempamerkan keputusan kajian dalam masa kurang dua minit bagi 10,000 pengiraan atau percubaan.

Menurut Fauziah, perisian sedia ada yang sering digunakan adalah teknologi daripada Kanada yang diberi nama Slope/W dan Slide yang hanya mengkaji satu lapisan tanah.

Hasil daripada data yang dikaji oleh perisian terbaharu tersebut, jurutera boleh menasihati pihak pemaju sama ada kawasan yang dikaji sesuai atau tidak untuk sebarang pembangunan.

“Data yang diperoleh berdasarkan plot warna yang ditunjukkan menentukan tahap keselamatan sesuatu cerun dan membantu para jurutera untuk menentukan kaedah penyelesaian masalah cerun tersebut,” jelasnya.

Perisian yang telah menerima hak cipta dan tanda dagangan itu sudah dipasarkan pada harga RM2,500 seunit. Ini jauh lebih rendah berbanding perisian yang sedia ada yang dijual di antara RM7,000 hingga RM13,000 seunit.

USlopeM telah memenangi pingat emas dan juga Anugerah Khas Vifotec (Pereka Wanita Terbaik) di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2014 di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Ini adalah kali keenam saya menerima anugerah khas melalui pelbagai kajian yang telah dijalankan sebelum ini termasuk empat anugerah di Korea dan satu di Vietnam serta Sweden,” ujarnya.