Komedi bijak dalam CEO

REMY ISHAK teruja untuk melihat sambutan terhadap filem CEO lakonannya yang akan ditayangkan bermula 12 Jun ini.


PENGARAH filem CEO, Razaisyam Rashid mengakui menghadapi masalah besar memilih judul yang sesuai untuk filem arahan pertamanya yang bakal ditayangkan di pawagam pada 12 Jun ini.

Membariskan pelakon popular seperti Remy Ishak, Cristina Suzanne dan Beto Kusyairy, jelas Razaisyam, barangkali ada penonton yang akan beranggapan filem tersebut merupakan filem serius dan berat.

"Memang susah memikirkan judul apa yang paling sesuai untuk filem ini. Saya tidak mahu pilih judul yang bukan-bukan. Jadi, saya memilih judul yang mudah dan bersesuaian dengan jalan cerita.

"Judul CEO paling sesuai kerana ia menggambarkan watak CEO (ketua pegawai eksekutif) yang dilakonkan Remy dan juga Beto dalam filem itu," ujarnya ketika ditemui selepas tamat majlis pratonton filem tersebut di Cathay Cineplex Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sedar sambutan filem di Malaysia ketika ini kurang memberangsangkan, Razaisyam memberitahu, sesebuah filem yang bagus tidak bergantung pada tajuk yang menarik.

"Sungguhpun filem ini mempunyai tema yang serius tetapi ia sebenarnya sebuah filem komedi bijak yang menggunakan dialog-dialog lucu dan bermakna," ungkapnya yang menganggap lakonan Deanna Yusoff paling menonjol dalam filem tersebut.

Mengulas lanjut mengenai lakonan Deanna, Razaisyam memberitahu, aktres tersebut merupakan seorang yang profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika berada di set penggambaran.

Sementara itu, menurut Remy pula, dia mengakui seronok bekerjasama dengan pelakon Anas Ridzuan dan menganggap ia suatu pengalaman baharu pada dirinya.

"Paling seronok saya dapat berlakon bersama dengan Anas kerana karakternya yang kelakar. Dia juga seorang pelakon yang bagus," tuturnya mengenai pelakon teater Juta-Juta itu.


MANTAP... Dari kiri: Remy Ishak, Beto Kusyairy, Cristina Suzanne, Datuk Jalaluddin Hassan, Mustaqim Mohamed dan Anas Ridzuan merupakan barisan pelakon filem CEO arahan Razaisyam.


Dialog spontan

Mengulas mengenai wataknya dalam filem itu, akui Remy, dia sukar membawakan watak seorang CEO kerana dia perlu melakonkannya dalam karakter yang santai.

Kata pelakon berusia 32 tahun itu, dia tidak boleh terlalu mencuba membawakan watak CEO kerana ia akan kelihatan kurang spontan.

"Watak yang santai lagi sukar untuk dibawa berbanding watak sedih dan marah. Saya juga kena mencipta karakter berbeza dengan Beto kerana kami berdua membawa watak yang sama iaitu CEO.

"Bagaimanapun, karakter lakonan Beto dibantu oleh rakan-rakannya dalam filem tersebut. Sementara saya pula terpaksa berhempas pulas berdiri sendiri membawakan watak CEO agar nampak semula jadi dan tidak pelik," tuturnya.

Pelakon Beto pula mengakui tidak terlalu bergantung kepada skrip yang diberi semata-mata. Sebaliknya, lontaran dialog yang dibuat ada kalanya mengikut kesesuaian karakternya ketika itu.

"Lontaran dialog yang tertera di skrip banyak dicantikkan lagi ketika di set penggambaran. Bagaimanapun, dialog-dialog spontan yang dikeluarkan pelakon mengikut karakter masing-masing. Ia juga perlu mengikut kesesuaian dan juga perbincangan bersama dengan pengarah," kata Beto.

CEO mengisahkan tentang dua lelaki iaitu Adam (Remy) dan Sufian (Beto) yang berlainan dunia. Adam merupakan CEO dalam sebuah empayar korporat yang berjaya. Sufian pula seorang penghantar pizza yang hanya suka bermain pool selepas waktu bekerja.

Dua dunia mereka berdua tidak sepatutnya bercantum. Namun, berlaku satu insiden yang menyebabkan hidup dua lelaki tersebut berubah sehingga 360 darjah.

Adam hilang segala-galanya selepas satu kes pecah amanah. Dia kehilangan karier, kemewahan dan tunangnya. Sufian pula mendapat tuah. Dia diberikan jawatan tertinggi syarikat dan juga kemewahan. Bagaimanapun, semua yang berlaku tersimpan sebuah misteri.

Selain tiga tunjang utama, filem sulung terbitan Arafilm Sdn. Bhd. itu juga dibintangi oleh Anas, Deanna, Datuk Jalaluddin Hassan, Mustaqim Mohamed, Fasyali Fadzly dan Naque Ariffin.