KAFA teliti rakaman insiden 'berdarah'


FAKRI (kiri) mengalami kecederaan di dahi akibat disiku Pantelidis dalam perlawanan Liga Super di Kota Bharu malam kelmarin.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan meneliti terlebih dahulu rakaman insiden 'berdarah' melibatkan dua tonggaknya iaitu Ahmad Fakri Saarani dan Farisham Ismail pada pertemuan dengan Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin lapor YATIMIN ABDULLAH.

Ahmad Fakri luka di dahi akibat disiku oleh pemain pertahanan pelawat Steve Pantelidis manakala Farisham Ismail patah hidung dipercayai 'angkara' hayunan tangan Ahmad Hazwan Bakri.

Setiausaha Agong KAFA, Azman Ibrahim berkata, pihaknya akan meneliti rakaman insiden tersebut sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.

"Kalau patut buat aduan, kita akan hantar bantahan berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat," katanya.

Beliau mengulas mengenai insiden berkenaan sejurus tamat perlawanan Kelantan dengan Selangor kelmarin.

Akibat insiden itu Ahmad Fakri terpaksa menerima tujuh jahitan di dahi manakala Farisham dirawat di salah sebuah hospital di sini.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan terpaksa menunggu sehingga minit ke-22 untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi Francis Forkey Doe sebelum Wan Zahahrul Nizam Wan Zakaria meledak gol kedua pada minit ke-84.

Dalam perkembangan lain, Azman memuji barisan pemainnya yang bertungkus lumus untuk memberikan tiga mata kepada pasukan.

Katanya, kemenangan itu bukan tugas mudah kerana Selangor bukan calang-calang pasukan untuk ditundukkan memandang mereka berada pada landasan terbaik merangkul kejuaraan Liga Super.

"Walaupun tanpa ketua jurulatih Goerge Boateng, namun kami mampu beraksi dengan baik dan mengikut segala arahan yang telah diberikan melalui penolong-penolong jurulatih sebelum dia pulang ke negaranya.

"Ada beberapa pemain lagi yang masih keletihan selepas beraksi dengan Pahang sebelum ini, tetapi dengan disiplin yang ditunjukkan menyaksikan Kelantan berjaya meraih tiga mata," ujarnya.