Percintaan Farid, Nora



MELANGKAUI kali keempat bergandingan menerusi filem dan drama, dua bintang Farid Kamil dan Nora Danish semakin likat menyatu emosi. Kali terakhir kelibat mereka dilihat menerusi filem BenCinta dan Anak Jantan, terbaharu anak emas Metrowealth itu berpadu dalam filem seram berjudul Pengantin Malam.

Disifatkan punya keserasian yang utuh antara satu sama lain, itulah hakikat yang sukar disangkal dalam diri dua figura ini apabila berada di bawah satu bumbung produksi yang sama.

Kesempatan bertemu Farid dan Nora di sesi fotografi bagi tujuan mempromosi filem terbaharu mereka itu digunakan sebaik-baiknya oleh penulis untuk mendekati perjalanan kehidupan yang sedang mereka bina. Selain bercerita tentang lakonan yang ditampilkan dalam filem arahan Eyra Rahman itu, mereka berkongsi damai dan resah yang bergelumang di dada.

Pertemuan di Restoran Rebung, Bangsar Kuala Lumpur baru-baru ini telah merungkai realiti kehidupan masing-masing. Farid Kamil yang memegang karakter sebagai Razif menerusi filem Pengantin Malam berkongsi tentang kemewahan yang mahu diberikan kepada anak sulungnya, Muhammad.

Kata Farid, kemewahan yang mahu diberikan itu bukanlah berbentuk wang ringgit atau harta benda tetapi lebih kepada kerohanian serta daya pemikiran.

"Tidak lama lagi Muhammad akan menginjak usia setahun. Kalau boleh saya mahu memberi dia 'kemewahan' yang berbeza. Saya ingin melihat dia menjadi seorang hafiz (penghafal al-Quran).

Jumpa nenek

"Dahulu ibu saya pernah menyimpan impian untuk melihat saya membesar sebagai seorang hafiz, namun impian tersebut tidak dapat saya kotakan. Tapi kali ini saya akan mencari jalan untuk menghantar Muhammad ke sekolah tahfiz.

"Selain itu, saya juga mahu membentuk Muhammad menjadi seorang pemain polo yang profesional. Lebih mengejutkan dia juga mempunyai potensi untuk menunggang kuda.

NORA DANISH terpaksa menyekat hampir 5,000 pengikut Instagram yang meninggalkan komen keterlaluan.


"Baru-baru ini saya belikan Muhammad kayu polo dan letakkan dia di atas kuda. Bayangkan dia boleh menunggang kuda tanpa bantuan sesiapa serta tidak takut dengan kuda tersebut," ujar Farid Kamil yang kini berumur 33 tahun.

Tambahnya, kehadiran Muhammad cukup membuat dia dan isteri, Diana Danielle, 23, cukup bahagia. Malah, kebahagiaan itu sukar untuk dikongsi kerana perasaan tidak mampu dihitung sama ada melebihi daripada perasaan ibu bapa lain atau sama.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan kehidupan yang sedang saya bina sekarang. Saya berasa lebih lapang dan tenang setelah mendirikan rumah tangga.

"Waktu senggang yang ada pasti saya gunakan dengan sebaiknya bersama Muhammad. Sehinggakan saudara-mara terdekat serta rakan-rakan mengatakan perangai Muhammad mirip seperti saya sewaktu kecil dahulu," jelas terpancar keceriaan di wajah Farid ketika menceritakan tentang anak sulungnya itu.

Beralih kepada isu perang dingin dengan ibu mertuanya, Norsiah Ramli, Farid pernah mengatakan bahawa dia dalam proses mahu menjernihkan kekeruhan yang berlaku di antara mereka.

Ketika ditanyakan semula isu itu kepadanya, ternyata aktor berkulit putih itu masih belum bertemu dengan ibu mertuanya. Lebih menyedihkan Muhammad masih belum berkesempatan untuk mengenali neneknya.

"Saya tiada masalah untuk bertemu dengan ibu mertua, tetapi dalam hal ini, saya serahkan kepada Diana. Dia lebih berhak bertemu dengan ibunya.

"Buat masa sekarang Diana mengatakan dia belum bersedia untuk mencari dan bertemu dengan ibunya. Apabila berlaku konflik sebegini saya nak paksa dia mencari ibunya pun tidak boleh. Apa yang mampu saya lakukan ialah menjaga kebahagiaan ini supaya berterusan. Saya percaya bahawa suatu hari nanti pasti Diana akan bertemu dengan ibunya," jelas Farid Kamil dengan tenang.

FARID KAMIL mahu membentuk anaknya, Muhammad menjadi seorang hafiz serta menjadi seorang pemain polo yang profesional.


Lelaki kuat seks

Melanjutkan bicara, Farid mengulas mengenai watak lakonannya menerusi filem Pengantin Malam. Di matanya, Eyra Rahman layak digelar pengarah wanita yang prolifik.

"Ini merupakan kali pertama Eyra mengarah filem seram. Saya melihat dia seorang pengarah yang hebat serta salah seorang pengarah yang menonjol di Metrowealth.

"Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran sewaktu ditawarkan berlakon dalam filem ini ialah bagaimana jalan cerita filem ini akan berlainan berbanding filem lain.

"Ternyata filem ini mempunyai pendekatan yang berbeza. Saya terkejut melihat hasil sentuhan Eyra. Pengantin Malam sebuah naskhah yang berbeza dan saya bertuah apabila diberi peluang bergandingan dengan Nora Danish dalam filem itu," ujar Farid yang memberitahu, filem tersebut telah menjalani penggambaran pada bulan November tahun lalu.

Tambah Farid, dalam filem tersebut dia membawakan watak bernama Razif yang cuba mendominasi perkahwinannya. Biarpun dia seorang suami yang penyayang, namun dia mempunyai sifat jahat. Razif mempunyai perangai buruk iaitu mempunyai wanita simpanan serta suka menabur janji kepada wanita yang ingin dikahwininya.

Kisah Farid berbeza dengan regunya, Nora Danish. Pemilik nama sebenar Nora Danish Mohd. Hanif, 32, atau lebih mesra disapa sebagai Nora itu terpaksa meneruskan kehidupan dengan kutukan negatif daripada peminatnya setiap kali memuat naik gambar di laman sosial Instagram.

Baru-baru ini, Nora Danish diangkat menjadi selebriti tanah air yang paling berpengaruh di Instagram apabila pengikutnya kini hampir mencecah 900,000 orang.

Nora akui, biarpun jumlah tersebut suatu penghormatan namun dia juga turut berdepan dengan dilema apabila saban waktu harus berdepan komen berbaur lucah. Tidak hanya mengenai aktiviti seharian, komen-komen melampau itu turut menular sehingga memperkatakan organ kewanitaannya.

Tambah Nora, rata-rata yang memberi komen negatif tersebut ialah remaja lelaki berumur belasan tahun yang galak seks. Bagi Nora, golongan itu seperti kurang didikan moral dan sivik dalam diri mereka.

"Sehingga kini saya terpaksa menyekat hampir 5,000 pengikut Instagram yang meninggalkan komen keterlaluan. Saya sangat sedih apabila yang memberikan komen tersebut terdiri daripada remaja lelaki belasan tahun.

"Saya sedar saya tidak berhijab tetapi setiap kali saya memuat naik gambar saya akan pastikan gambar tersebut tidak menjolok mata ataupun seksi. Malangnya saya masih menerima komen-komen negatif.

"Saya bimbang melihat generasi muda sekarang. Saya mempunyai anak lelaki dan saya tidak mahu melihat anak saya membesar dengan perkara yang kotor sebegitu," tegas Nora.

Bukan perampas

Dalam pada itu, ketika ditebak tentang hubungan percintaannya dengan anak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nadeem Mohamed Nazri, Nora menegaskan bahawa dia belum terdesak untuk berumah tangga.

"Bukan mahu mengelak untuk berkahwin tetapi saya mempunyai alasan saya yang tersendiri. Buat masa ini, perkahwinan bukan agenda utama kerana sebelum ini saya pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

"Perkahwinan yang lalu ternyata mengajar saya menjadi lebih matang dan berhati-hati. Saya juga tidak terlalu gopoh untuk berkahwin. Andai kata jodoh saya bukan dengan Nadeem, saya reda jika dia berkahwin dengan wanita lain.

"Jika ada jodoh kami, biarlah jodoh itu datang daripada hati dan kami benar-benar bersedia. Sebelum ini kami pernah berbincang tapi perbualan itu tidaklah terlalu serius," kongsi Nora sambil memberitahu, keluarganya tidak mendesak dan mahukan yang terbaik untuk dirinya.

Baru-baru ini, Nora meluahkan laranya apabila menjadi mangsa cemburu oleh rakan artis sendiri. Semua itu gara-gara keterbukaannya dalam soal cinta bersama Nadeem. Nora juga kecewa apabila dituduh menjadi punca perceraian Nadeem bersama bekas isteri terdahulu.

Melanjutkan bicara tentang karakter dalam filem Pengantin Malam, Nora memberitahu, dia memegang watak isteri Razif yang bernama Maya. Tambahnya, Maya sering kali diganggu kejadian mistik sehingga menyebabkan hidupnya sengsara dan dan hilang ingatan.

"Saya bersyukur kerana tiada sebarang gangguan atau perkara yang tidak diingini berlaku ketika saya berada di set penggambaran.

"Sepanjang sesi penggambaran dilakukan kami akan sentiasa solat berjemaah terutama pada waktu Maghrib bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku," tutup Nora berkongsi pengalamannya semasa pembikinan filem yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 19 Jun itu.