PT3 lebih baik berbanding PMR

22/06/2014 7:44pm

BESUT - Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bakal dilaksana dari 1 Julai hingga 17 Oktober ini lebih kemas dan lengkap berbanding peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, PMR hanya membabitkan sehelai kertas yang mencatat keputusan mata pelajaran yang diambil ketika menduduki peperiksaan, PT3 pula mengandungi 4 helai kertas yang menilai seseorang pelajar dalam pelbagai aspek.

Berdasarkan PT3, pelajar Tingkatan 3 akan memperoleh 4 jenis penilaian iaitu keputusan keseluruhan, penghuraian keputusan mata pelajaran, laporan pentadbiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta laporan psikometrik berkaitan minat dan kecenderungan seseorang.

"Para ibu bapa dan penjaga boleh melihat sendiri prestasi anak masing-masing secara menyeluruh dan tidak hanya membabitkan pencapaiannya dalam mata pelajaran," katanya kepada pemberita di Besut hari ini.

Idris juga berkata, beliau yakin ibu bapa dan penjaga akan lebih berpuas hati

apabila memperoleh keputusan PT3 yang menggantikan PMR tahun ini. - Bernama