Kambing golek Istana Bambu


KAMBING golek antara sajian utama di Istana Bambu.


SANTAI Ramadan bersama cita rasa nusantara menjadi tema Restoran Istana Bambu, Ampang, Selangor tahun ini. Para pengunjung akan disajikan dengan lebih 70 menu berbuka puasa yang menyelerakan.

Masakan kampung tradisional, sajian Cina, Thailand dan Arab antara variasi yang ditawarkan restoran dengan kapasiti 600 tetamu itu.

Menu istimewa yang wajib dicuba pengunjung termasuklah kambing golek, ayam bakar Sunda, patin tempoyak, asam pedas, masak lemak daging salai dan makanan laut menggunakan resipi khusus Istana Bambu.

Kuih-kuih tradisional seperti cara berlauk, kaswi, cara manis dan pulut panggang pasti memenuhi selera kampung anda.

Mungkin selepas menjamah makanan berat, rehatkan perut seketika sebelum menyambung eksplorasi gastronomi anda dengan mencuba seleksi pencuci mulut yang disediakan. Rangkaian tiga jenis bubur iaitu bubur nangka, pulut hitam dan serawa durian sememangnya tepat untuk mereka yang berjiwa Melayu.

Pilihlah teh lemon ais, kordial mangga dan oren serta minuman panas seperti teh tarik sebagai pelepas dahaga. Namun untuk pembasah tekak yang lebih memuaskan, pilihan ais batu campur dan cendol jangan sesekali dilepaskan.

Selain keenakan sajian klasiknya, suasana di Istana Bambu itu sendiri menciptakan pengalaman berbuka puasa yang mendamaikan. Seni bina kampung restoran di pinggir Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu disempurnakan dengan penggunaan buluh bagi membentuk latar desa tepian sawah yang sederhana.

Atmosfera sebegitu mampu menggantikan kebosanan warga kota terhadap ruang makan atau restoran berkonsep moden. Malah kemudahan utama seperti surau turut disediakan.

Mereka yang bercadang untuk mengadakan majlis berbuka puasa korporat atau berkumpulan disarankan membuat tempahan lebih awal.