Belalai air landa Teluk Cempedak


BEGINILAH fenomena puting beliung kecil atau belalai air yang melanda Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang semalam.


KUALA LUMPUR - Penduduk dan pelancong di sekitar Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang dikejutkan fenomena puting beliung kecil atau belalai air yang berlaku di persisiran pantai pusat peranginan itu semalam.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, fenomena yang dilaporkan terjadi pada pukul 7.30 pagi itu disebabkan oleh kejadian ribut petir dalam keadaan awan yang rendah.

Bagaimanapun tiada sebarang kerosakan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

"Fenomena ini bukan dikategorikan sebagai puting beliung kerana ia terjadi dalam skala yang sangat kecil dan berlaku dalam masa singkat lebih kurang seminit sahaja.

"Ini merupakan fenomena yang biasa berlaku di kawasan persisiran pantai dan ia akan hilang apabila menghampiri permukaan darat," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut jurucakap itu, walaupun fenomena belalai air tersebut tidak membawa bencana kepada orang awam, namun ia boleh mendatangkan bahaya kepada bot dan kapal-kapal kecil di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, video berdurasi 35 saat yang menunjukkan fenomena seperti puting beliung yang berlaku di Teluk Cempedak tersebut turut dimuat naik ke laman sosial YouTube dan Facebook.

Pada Disember tahun lalu, kejadian sama turut dirakamkan berlaku di kawasan perairan Selat Tebrau, Johor yang mendapat perhatian pengguna laman sosial di negara ini.