Cenuram bahaya cabar pendaki



MESKIPUN ketinggiannya cuma 810 meter dari aras laut, Gunung Santubong di Kuching, Sarawak tetap mempunyai cabaran yang tidak boleh diambil mudah atau dipandang sebelah mata oleh para pendaki.

Selain curam berbahaya serta cerun yang menyulitkan pendakian, terdapat banyak cabaran dan halangan fizikal menanti para pendaki sebelum berjaya sampai ke puncak gunung berkenaan.

“Puncak Gunung Santubong lebih rendah berbanding gunung-gunung lain yang pernah kami daki. Jadi, kami tidak menyangka gunung ini menyajikan pelbagai kejutan dan cabaran.

“Sebelum sampai ke puncak, kami menghadapi tebing yang mempunyai kecerunan sehingga 80 darjah dan ia sungguh berbahaya,” kata Aiza Zeyati Mohamad Zemani, 39.

Beliau mendaki gunung tersebut bersama lima bekas rakan sekampus bulan lalu. Kali terakhir mereka mendaki gunung bersama ialah kira-kira 17 tahun lalu semasa masih menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah.

Sebelum ini, beliau pernah melakukan beberapa pendakian seperti Gunung Nuang (1,493 meter), Bukit Kutu (1,090 meter) dan Bukit Broga (400 meter) di Selangor serta Bukit Tabur (445 meter) di Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau pernah sampai ke puncak Gunung Kinabalu di Sabah, Gunung Datuk dan Gunung Angsi di Negeri Sembilan serta Gunung Rinjani di Indonesia.

Aiza Zeyati menambah, ketika membuat pendakian di Gunung Santubong, para pendaki juga perlu memanjat tangga yang dibuat menggunakan tali dan buluh yang ketinggiannya menyamai bangunan tiga tingkat.

Ujar beliau, jarak antara setiap anak tangga juga agak renggang menyebabkan pendaki yang mempunyai fizikal lebih rendah menghadapi kesukaran untuk memanjat.

“Ia (memanjat tangga tali) adalah antara cabaran yang menarik dan perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu menambah, meskipun perlu menghadapi banyak cabaran sebelum sampai ke puncak Gunung Santubong, para pendaki berpeluang menikmati keindahan semula jadi di sekitar gunung berkenaan.


SAAT manis menikmati kuih tradisional yang dibawa sebagai bekal.


Menurut Aiza Zeyati lagi, trek pendakian yang kaya dengan flora dan fauna tersebut juga bersih daripada sampah dan dijaga rapi.

“Pendaki juga boleh melihat beberapa aliran sungai dan air terjun kecil. Sumber air itu juga boleh diminum begitu sahaja atau dijadikan bekalan minuman.

“Terdapat juga jambatan kayu kecil dibina kemas merentasi aliran sungai yang menjadikan trek ini semakin menarik. Ia juga boleh dijadikan tempat berehat untuk beberapa minit sebelum meneruskan perjalanan,” kata beliau.

Gunung Santubong terletak kira-kira 35 kilometer di bahagian utara pusat bandar Kuching dan puncaknya boleh dilihat dengan jelas dari ibu negeri Sarawak ketika cuaca berkeadaan baik.

Mitos

Berdasarkan mitos masyarakat setempat, Gunung Santubong berasal daripada jasad puteri kayangan yang bernama Puteri Santubong selepas disumpah menjadi gunung.

Menurut mitos, Puteri Santubong dan saudara kandungnya, Puteri Sejinjang diperintah oleh ayahanda mereka, Dewata Mulia untuk turun ke Bumi bagi membantu menyelesaikan konflik antara penduduk Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir Kuning.

Sebelum turun ke Bumi, mereka bersumpah untuk tidak bertelingkah sesama sendiri ketika berusaha mendamaikan penduduk kedua-dua kampung berkenaan.

Usaha mereka akhirnya berjaya. Kedua-dua kampung itu berdamai dan bekerjasama dalam kegiatan perdagangan dengan beberapa buah negeri asing.

Sejak itu, ramai putera raja dari beberapa buah negeri berusaha melamar hati kedua-dua puteri kayangan tersebut. Namun, semua lamaran tersebut ditolak.

MELEPAS lelah seketika di jambatan kayu semasa pendakian.


Bagaimanapun, kedua-dua puteri kayangan berkenaan jatuh cinta terhadap seorang putera raja dan akhirnya bergaduh sesama sendiri.

Akibat pertelingkahan yang melanggar sumpah itu, Puteri Santubong serta Puteri Sejinjang telah disumpah oleh ayahanda mereka dan bertukar menjadi gunung.

Mitos yang popular dalam kalangan masyarakat tempatan itu juga menjadikan Gunung Santubong sebagai antara destinasi pendakian yang terkenal di Sarawak.

Trek pendakian ke puncak juga melalui hutan hujan yang tebal dan cantik serta menyediakan peluang kepada para pendaki menyaksikan hidupan liar seperti burung dan pelbagai spesies serangga.

“Saya telah membuktikan tiada alasan untuk golongan wanita tidak melibatkan diri dalam aktiviti sihat dan mencabar seperti mendaki gunung.

“Walaupun saya peserta wanita tunggal dalam pendakian ini, ia tidak menjadi masalah besar untuk saya mengikut rentak para pendaki lain,” ujar Aiza Zeyati.

Mencabar

Seorang orang pendaki, Zulkarnaen Ali, 39, berkata, pendakian ke puncak Gunung Santubong mengambil masa kira-kira tiga jam.

Zulkarnaen menambah, pendakian tersebut dimulakan seawal pukul 8 pagi ketika pancaran cahaya matahari tidak terlalu terik.

“Apabila mendaki ketika matahari sedang meninggi, cahaya panas dan terik sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pendaki. Ia juga boleh menyebabkan bahaya.

“Namun selepas sampai ke puncak, para pendaki mendapat ganjaran yang sangat berharga. Bandar raya Kuching, aliran sungai dan kawasan sekitar boleh dilihat jelas.

“Pemandangan yang indah di sekitar kawasan berhampiran kaki gunung dan udara segar di puncak adalah ganjaran yang dinanti-nantikan oleh para pendaki,” katanya.

Ujar Zulkarnaen lagi, di puncak gunung tersebut juga terdapat sebuah telaga yang dikatakan tidak pernah kering.


KEINDAHAN anak sungai Sarawak yang boleh dilihat di pertengahan pendakian.


“Pendakian ini merupakan satu pengalaman paling bermakna kepada kumpulan kami kerana dapat mengimbas kenangan lama ketika masih belajar di UUM. Kami bergambar sepuas-puasnya semasa di puncak gunung. Paling manis, kami menikmati kuih tradisional yang kami bawa naik sebagai bekal.

“Namun, kami kurang bernasib baik kerana tidak berpeluang melihat burung kenyalang seperti yang diidam sebelum mendaki,” kata pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak, Abdul Halim Hashim, 39.

Abdul Halim menambah, perjalanan menuruni cerun gunung adalah lebih mencabar kerana para pendaki menghadapi risiko terjatuh sekiranya terpijak permukaan licin.

Mohd. Hisyam Jamal Mohamed pula berkata, angin kencang juga menyebabkan tangga tali tidak stabil dan bergoyang sehingga menuntut para pendaki lebih berwaspada.

“Perjalanan turun mengambil masa kira-kira dua setengah jam. Pendaki bagaimanapun, mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak kemalangan.

“Sekiranya ingin bermalam, pendaki boleh berkhemah di tapak perkhemahan khas dan menikmati pemandangan bandar raya Kuching pada waktu malam,” katanya.