Sebab tidak popular, Najman dipecat daripada Sinar FM

DIPECAT serta merta, kata Najman jika mengikut kontrak, dia masih berkhidmat di stesen radio Sinar FM sehingga Januari 2015.


SELEPAS berkhidmat selama 10 tahun bersama stesen radio swasta Sinar FM, penyampai radio, Najman Mohamed dipecat serta merta oleh pengurusan stesen radio itu pada 11 Julai lalu.

Najman mengendalikan segmen Senandung Malam (8 malam hingga 12 tengah malam) bersama deejay Jamal Jamaluddin.

Terkejut dengan tindakan pihak pengurusannya, Najman yang bekerja secara kontrak dengan stesen radio berkenaan memberitahu pihak pengurusan tidak memberi alasan yang kukuh berhubung pemecatannya, walhal kontraknya masih berbaki sehingga hujung Januari tahun hadapan.

Katanya, antara sebab pemecatannya ialah dia tidak popular berbanding penyampai radio Sinar FM yang lain dan dikatakan tidak memenuhi kehendak produksi.

Disebabkan itu, Najman membuat keputusan untuk mengambil tindakan dengan melaporkan kes pemecatannya ke Kementerian Sumber Manusia untuk membela nasibnya.

Ikuti temu bual Kosmo! dengan Najman yang dihubungi semalam.

Kosmo!: Benarkah berita pemecatan Najman daripada radio Sinar FM?

NAJMAN: Ya, memang benar. Saya telah dipecat sebagai penyampai radio Sinar FM pada 11 Julai lalu. Pemecatan saya berkuatkuasa serta merta pada tarikh tersebut.

Apakah sebabnya sehingga anda diberhentikan serta merta oleh pihak pengurusan Sinar FM?

Saya sendiri tidak tahu apakah sebabnya. Mereka cuma memberitahu, saya tidak memenuhi kehendak produksi. Apabila saya soal balik apakah yang mereka inginkan, namun mereka sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang tepat.

Mungkinkah anda mempunyai sebarang masalah dengan pihak pengurusan sebelum ini?

Jujurnya tidak ada sebarang masalah. Sudah 24 tahun saya bekerja dalam bidang penyiaran radio. Tujuh tahun di stesen radio Best 104 FM, tujuh tahun di Era FM dan 10 tahun bersama Sinar FM. Selama saya bekerja tiada sebarang isu berbangkit. Cuma apabila saya selidiki, pihak atasan memberitahu saya diberhentikan kerana saya tidak popular berbanding penyampai radio Sinar FM. Pihak pengurusan ada buat satu soal selidik untuk meninjau tahap populariti penyampai Sinar FM dan nama saya berada pada tangga paling bawah.

Apakah perasaan anda ketika itu?

Saya sangat terkejut kerana tanpa sebarang perbincangan dan alasan yang kukuh saya dipecat serta merta. Kontrak saya juga masih berbaki sehingga hujung Januari tahun hadapan.

Bagaimana pula penerimaan rakan sekerja anda?

Mereka juga sangat terkejut dengan berita pemecatan saya. Rata-rata mereka juga bekerja secara kontrak sama seperti saya. Apabila perkara ini boleh berlaku kepada saya, dibuang begitu sahaja tidak mustahil rakan sekerja yang lain juga boleh mengalami nasib yang sama.

Selepas dipecat, adakah anda mengambil sebarang tindakan kepada pihak pengurusan?

Saya sudah melaporkan perkara ini kepada Kementerian Sumber Manusia. Pihak kementerian akan memanggil pihak Astro Radio untuk mengambil keterangan. Jika mereka didapati bersalah, mereka harus bayar ganti rugi kepada saya mengikut tarikh kontrak saya tamat.

Selepas dipecat, apakah punca pendapatan anda?

Alhamdulillah, rezeki ada di mana-mana. Nasib baik saya dan isteri ada membuat perniagaan katering secara kecil-kecilan. Cukuplah untuk menampung kehidupan saya dan tujuh anak. Bagi saya setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya, saya bersyukur kerana isteri saya sedang hamil dua bulan anak kelapan kami.