Inspektor Tisha jadi sandaran

SEMAKIN dikenali menerusi watak Inspektor Tisha dalam drama Gerak Khas musim baharu, anak kelahiran Kelantan ini juga bakal muncul dengan sebuah filem seram, Villa Nabila tidak lama lagi.


MENOLEH ke belakang sekadar untuk melihat jejak kelmarin, Tisha Shamsir tidak pernah lelah meneruskan impiannya. Dua kali menyertai pertandingan bakat nyanyian menerusi Audition dan Mentor, Tisha kini beralih menjadikan lakonan sebagai penerus karier seni.

"Selesai Mentor, saya ada lagu duet dengan Ferhad, tapi tak ada rezeki, lagu itu kurang sambutan. Kemudian saya dapat satu watak kecil dalam drama Metro Skuad dan daripada situlah saya terima tawaran daripada Datuk Yusof Haslam untuk masuk Gerak Khas," jelas Tisha terkenangkan zaman awal mengorak langkah ke dunia lakonan.

Pernah hampir putus asa gara-gara berasa tertipu oleh pihak yang menawarkan janji kosong, namun pemilik nama Sharnorbiah Shamsir Alam menganggap tempoh itu antara titik hitam dan ujian pertama yang berjaya diharunginya.

"Saya hampir menyerah kalah, siapa punya angkara, biarlah saya simpan sahaja demi tidak memburukkan sesiapa.

"Tapi, kalau melihat kepada usia saya yang sudah menjengah ke angka 28 tahun ini, sepatutnya saya sudah ada sesuatu yang boleh dibanggakan. Dahulu, ada juga saya terfikir nak buka kedai kek tetapi rezeki kini beralih ke bidang lakonan nampaknya membuahkan hasil, jadi saya tak mahu sia-siakan," ungkap Tisha yang mewarisi bakat seni bapanya, Shamsir Alam Mohd. Zainal, 59, yang merupakan bekas penyanyi Kombo Angkatan Tentera.

Enam bulan membawa nama Inspektor Tisha, sosok tinggi lampai dan wajah serius milik wanita kelahiran Pasir Puteh, Kelantan melayakkan Tisha menjadi pelakon tetap dalam drama bersiri kepolisan, Gerak Khas musim baharu di TV2.

"Gerak Khas buka peluang yang besar untuk saya. Mula-mula agak susah untuk bawa watak dan berdialog macam pegawai polis tapi lama-lama makin serasi.

TISHA SHAMSIR kini fokus terhadap lakonan memandangkan rezeki dalam bidang nyanyian belum menyebelahinya.


"Berlakon Gerak Khas menyeronokkan, banyak buka mata saya tentang apa yang berlaku di sekeliling kita. Masa kecil saya tengok Gerak Khas tetapi tak sangka sekarang giliran saya pula berlakon dalam siri berkenaan," katanya yang berganding bersama Salina Saibi, Afiq Muiz, Nizen Ayob dan Norman Hakim dalam drama yang disiarkan setiap Jumaat pukul 9 malam di TV2.

Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan juga membuahkan peluang kedua buat Tisha apabila dia diberi kepercayaan menggalas watak utama dalam sebuah filem berjudul Villa Nabila. Filem seram itu diarahkan oleh Syafiq Yusof.

"Datuk Yusof Haslam yang tawarkan watak itu kepada saya dan digandingkan pula dengan Pekin Ibrahim. Villa Nabila sebuah filem yang berlatarkan sebuah rumah usang yang cukup popular dalam kalangan orang Johor Bahru. Filem itu sudah pun selesai penggambaran," jelas Tisha yang sudah enam tahun berjinak-jinak dalam dunia lakonan namun hanya kerap diberikan watak tambahan.

Di sebalik penerimaan dan perjalanan lakonan yang semakin menampakkan peluang, Tisha mengakui terkesan dengan pandangan serong yang dilemparkan sesetengah pihak kepada dirinya.

"Ada orang kata saya dapat peluang berlakon dalam Gerak Khas kerana guna jalan mudah. Mereka tak tahu susahnya saya hendak berada dalam industri. Saya tak tahu apa yang mereka fikir tetapi yang sedihnya, tohmahan itu bermula daripada orang-orang yang saya kenali," getusnya optimis.

Mengetepikan cinta pertamanya, nyanyian demi lakonan, Tisha sebenarnya merancang untuk tampil dengan single kedua.

"Kali ini saya pilih rentak R&B hip hop dan menggunakan khidmat komposer muda, Shazz sebagai penerbit. Lagu itu keluar daripada genre saya selama ini, tapi saya suka hendak mencuba sesuatu yang baharu," tutup anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Sepanjang Ramadan, Tisha kini bercuti daripada lokasi Gerak Khas dan akan kembali sibuk dengan penggambaran sehabis Aidilfitri nanti. - TENGKU SUZANA RAJA HAMAT