Siti kongsi kisah hidup dalam album Fragmen

LIMA tahun tempoh diambil untuk Siti tampil dengan album solo ke-15.


TANGGAL 13 Disember 2012 merupakan detik yang tidak akan dilupakan oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza. Ini kerana itulah tarikh dia mendapat berita suaminya, Datuk Mohamad Khalid Jiwa (Datuk K) terlibat dalam kemalangan motosikal di New Zealand.

Luruh hati dan menggigil tangannya saat menerima berita itu masih jelas dalam ingatannya. Pengurus peribadinya, Rozi Abdul Razak dan komposer terkenal, Aubrey Suwito berada di sisi Siti ketika itu.

Justeru, dua insan tersebut dipilih untuk terlibat dalam album solo bahasa Melayu ke-15 penyanyi jelita ini yang berjudul Fragmen. Album yang meluncurkan semua kejujuran hati dan menceritakan perjalanan hidup insan bernama Siti Nurhaliza Tarudin.

"Judul album Fragmen itu dipilih oleh Rozi. Perkataan itu kedengaran agak moden tetapi maksudnya amat mendalam iaitu bahagian daripada suatu peristiwa.

"Keseluruhan album ini menceritakan sebahagian kisah hidup dan pengalaman saya. Sebab itu, album ini cukup dekat dengan jiwa saya sendiri dan harap peminat yang mendengarnya akan rasa dekat dengan saya," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran album Fragmen di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Siti, dia sendiri berasa sebak saat menonton klip video lagu Jaga Dia Untuk Ku. Lirik yang ditulis oleh Rozi dan lagu oleh Aubrey itu sangat mengimbas memori saat suaminya kemalangan.

Klip video yang memaparkan seorang penunggang motosikal ditimpa kemalangan dan akhirnya terbaring di atas katil akibat kecederaan, benar-benar meruntun jiwa halus Siti.

"Saya tidak boleh tengok klip video itu lama-lama. Nanti saya akan sebak dan tidak boleh menyanyi. Teringat kembali pengalaman lepas.

"Klip video itu dirakam di Indonesia tetapi pengarahnya mengambil pengalaman saya untuk dibuat jalan cerita. Walaupun tidak seratus peratus sama dengan apa yang saya hadapi tetapi ia tetap mengusik hati saya," balas Siti.

Apabila disoal lanjut tentang album yang mengambil masa lima tahun untuk dibikin itu, jelas Siti, tempoh yang lama diambil demi kualiti dan kepuasan dirinya.

Pernah melahirkan album-album popular dan meraih ratusan anugerah sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepadanya untuk melahirkan album yang lebih baik

"Saya tahu, lima tahun adalah satu masa yang sangat lama. Namun, saya harus berhati-hati dalam mengumpul bahan supaya album Fragmen menjadi sebuah album yang berkualiti," katanya lagi.

Pilih komposer

Dalam album Fragmen yang memuatkan sembilan buah lagu, Siti bekerjasama dengan ramai komposer muda antaranya, lagu Mula dan Akhir (Awi Rafael) dan Sanubari (Adi Priyo).

Tidak kekok, katanya, dia cukup terbuka dalam memilih lagu sehingga dia harus mendengar 40 buah lagu sebelum menyenarai pendek lagu-lagu yang ingin dimuatkan di dalam album.

"Saya cukup senang bekerja dengan orang muda. Tiada sebarang masalah, lagu mereka juga sedap.

"Ada lagu yang diberikan kepada saya, ada yang saya minta sendiri," ujar Siti.

Menyambung bicara tentang Aubrey Suwito yang diambil sebagai penasihat album ini, jelas Siti, pemilihan dibuat berdasarkan kualiti yang ada dalam diri komposer itu.

Selain Aubrey, Awi Rafael dan Adi Priyo, komposer lain yang terlibat dalam album ini ialah Faizal Tahir untuk lagu Aku, Hamid Mufari (Kau Sangat Bererti), Ade Govinda (Terbaik Bagimu), Lin Li Zen/Rozi (Warna Dunia) dan Acap/Hairul Anuar Harun (Membunuh Benci).


SITI bersama barisan komposer dan penerbit yang menjayakan album Fragmen.


Menariknya, album Fragmen dikeluarkan selepas Siti berhijab. Justeru, Siti amat berhati-hati dalam memilih imej untuk disesuaikan sebagai kulit album tersebut.

"Ini kali pertama kulit album yang merakam saya berhijab. Walaupun berhijab, saya inginkan kelainan dan dalam masa yang sama imej yang ditampilkan itu sesuai dengan elemen pop yang ada dalam album ini.

"Sebab itu, saya sengaja memilih warna hitam sepenuhnya untuk pakaian kerana hitam nampak elegan," ujarnya.

Album Fragmen yang mula dipasarkan pada Jun lalu dikhabarkan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada peminat. Minggu pertama ia berada di pasaran album itu telah terjual sebanyak 5,000 unit.

Amarah Siti

Bukan satu perkara yang baharu buat artis apabila orang lain mengambil kesempatan terhadap populariti mereka untuk melariskan sesuatu produk. Siti juga tidak terkecuali. Siti juga menghadapi situasi yang sama apabila namanya digunakan untuk melariskan sebuah produk yang tidak pernah diwakilinya.

"Memang tak dinafikan, ada orang menggunakan nama dan gambar saya untuk lariskan produk walaupun saya tidak mewakili mereka. Masalahnya, orang ramai mudah terpedaya dengan penipuan seperti itu.

"Apabila berlaku sebarang masalah, orang akan salahkan artis. Saya tidak mahu peminat saya tertipu. Sebab itu, saya selalu memberitahu mereka perkembangan diri saya dan memberi amaran kepada peminat. Rasanya, peminat juga boleh menilai mana yang benar dan yang palsu," tegasnya.

Selain itu, timbul kontroversi baru-baru ini apabila wajah dan nama Siti digunakan untuk satu akaun di Facebook yang menunjukkan seolah-olah dia menyokong Israel dan mengecam Palestin.

Jelas Siti, perbuatan seperti itu tidak seharusnya berlaku. Walaupun sedar tujuannya adalah untuk menimbulkan kesedaran tetapi ia telah mengelirukan orang ramai tentang pendirian Siti terhadap isu di Gaza.

Rentetan daripada itu, ia bersambung di sebuah blog dengan judul Datuk Siti Nurhaliza sokong Israel kecam Palestin. Terkena impak berita tersebut, Siti mengambil sikap berdiam diri dan memberi amaran terhadap peminatnya supaya tidak mepercayai akaun palsu itu.

"Saya langsung tidak bersetuju dengan cara pemilik akaun palsu itu. Dia menggunakan nama dan gambar saya untuk menarik perhatian orang untuk melawati akaun dia. Begitu juga dengan blog yang memberi judul kononnya saya menyokong Israel itu.

"Walaupun cerita yang dipaparkan bukanlah teruk tetapi apabila orang baca hanya sekali lalu, ia akan memberi penilaian yang negatif. Itu yang saya tidak mahu. Saya agak marah kerana ia melibatkan isu sensitif di Gaza.

"Namun, saya ambil pendekatan untuk tidak memberi sebarang respons. Buat apa saya beri promosi percuma kepada mereka yang sebelum ini langsung tidak dikenali.

"Jadi jalan terbaik, saya abaikan sahaja. Jika melampaui batas, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," beritahunya serius.