Bingkisan lebaran dua legasi

EBBY YUS dan Achey menyambut Syawal dalam suasana yang berbeza. Ebby berhari raya dengan kakaknya di Kuala Lumpur, manakala Achey bercuti lama di kampungnya, Segamat, Johor.


DUA figura yang berpaksikan kepada perjuangan yang sama berkongsi kisah cerita Syawal. Di sebalik senyuman dan senda gurau yang tiada penghujung, tersembunyi kisah kehidupan yang tersendiri.

Mereka, dua pelawak dari generasi berbeza, Ebby Yus dan Achey Bocey umpama seorang pejuang yang tidak dirai, mereka meniti kehidupan seperti orang biasa.

Merungkai kisah suka duka Syawal, mereka berdua tetap ingin menjadikan lebaran kali ini bermakna dalam hidup mereka.

Ebby Yus tak sunyi berseorangan

Gabungan padu dua legasi lawak ini cukup untuk menggambarkan perkembangan industri lawak tanah air. Jika dahulu pelawak hanya menjadi tempelan untuk setiap program, kini industri lawak dipandang serius sama penting seperti industri seni yang lain.

Mendapat tempias daripada fenomena itu, pelakon dan pelawak yang tidak asing lagi Ebby Yus dan pelawak yang sedang meningkat naik, Achey berkongsi rezeki daripada saluran yang sama.

Mengakui industri lawak kini mendapat perhatian yang lebih berbanding dahulu, kedua-dua ikon ini menganggap ia merupakan rezeki dan berharap industri lawak terus berada dalam kelas yang tersendiri.

Namun kemeriahan industri seni lawak tidaklah semeriah sambutan lebaran buat dua ikon ini. Kesibukan aktiviti seni dan perniagaan mereka sedikit sebanyak membataskan kemeriahan Syawal mereka.

Bagi pelawak, Ebby Yus, ketiadaan ibu bapanya sedikit sebanyak membantutkan semangat rayanya. Kesepian itu diisi dengan menyibukkan diri melalui aktiviti seni dan perniagaan.

“Alhamdulillah tiba sahaja bulan Syawal banyak juga jemputan program rancangan raya yang diterima. Antaranya, saya mendapat jemputan untuk melakukan persembahan di kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga kadangkala tidak sempat balik ke kampung saya di Negeri Sembilan.

“Lagipun saya juga sibuk dengan restoran masakan Cina yang kini sedang pesat berkembang dan baru-baru ini kami membuka cawangan ketiga di Wangsa Melawati,” lontarnya.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai rutin lebarannya, Ebby berkata, walau sesibuk manapun dia akan tetap pulang ke kampung pada hari raya pertama kerana abang dan kakaknya masih berada di kampung.

“Hanya mereka yang ada di kampung. Adik-beradik lain mungkin beraya di rumah mertua mereka, maklumlah masing-masing sudah berkeluarga. Jadi ikut haluan masing-masing. tetapi mereka tetap pulang ke kampung selalunya tiga hari selepas raya.

“Lagipun rutin harian saya sangat ringkas memandangkan saya masih bujang. Justeru, tidak banyak yang perlu disediakan malah daripada segi pakaian juga saya tidak memilih,” ujarnya.

Ebby menambah, raya kali ini mungkin berbeza kerana kakaknya datang ke Kuala Lumpur untuk menemaninya. Kakaknya merupakan orang kelainan upaya (OKU).

“Jarang kakak saya ke sini (Kuala Lumpur). Bagaimanapun, tahun ini Alhamdulillah dia bersetuju untuk datang untuk beraya di sini. Pada masa yang sama boleh juga saya menjaganya di sini,” luah anak kelapan daripada 10 adik beradik itu.

Meluahkan perasaannya, Ebby berkata, kadangkala timbul perasaan sunyi memandangkan dia masih belum mempunyai keluarga.

Namun, lelaki yang menginjak usia 49 ini menganggap jodoh itu rahsia Tuhan.

“Siapa yang tidak mahu jodoh, semua orang mahu. Saya menyerahkan soal ini kepada Yang Maha Esa. Mungkin jodoh saya belum sampai. Jika sudah sampai sememangnya saya sudah bersedia untuk berumah tangga.

“Lagipun, saya mempunyai anak buah yang saya anggap seperti anak sendiri, merekalah tempat saya meluahkan kasih sayang. Kehidupan tidak pernah sunyi dengan mereka,” ujarnya yang menjadikan rendang itik sebagai hidangan wajib pada hari lebaran.

Malam raya Achey

Lain pula cerita bagi pelawak yang baru sahaja dinobatkan sebagai Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) 2013 baru-baru ini. Achey berkata, raya tahun ini sama seperti sebelumnya.

Memandangkan masih belum mempunyai anak, ketibaan Syawal disambut sama seperti tahun sebelum ini.

“Selalunya hal persiapan diserahkan sepenuhnya kepada isteri saya dan dia yang mengambil keputusan mengenai tema warna untuk pakaian raya kami,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai rutin harian menjelang Syawal, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 27, berkata, dia akan pulang ke kampungnya di Segamat, Johor menjelang malam raya.

Achey menambah, tiada istilah pulang berhari raya mengikut giliran memandangkan kampung dia dan isterinya terletak sama di daerah Segamat. Jadi tak menjadi masalah kepada pasangan itu untuk berhari raya di kedua-dua belah pihak.

“Memandangkan rumah kedua ibu bapa kami sekampung jadi tidak menjadi masalah kepada kami berbahagi giliran pulang ke mana terlebih dulu,” katanya yang menghabiskan hampir RM2,000 untuk tujuan pemberian duit raya kepada sanak saudaranya.

Pulang berhari raya ke kampung menjadi salah satu kewajipan kepada Achey memandangkan anak kelapan daripada 10 adik-beradik itu berkata, hari raya merupakan hari perjumpaan untuk semua seluruh sanak saudaranya.

“Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk berjumpa sanak saudara semasa hari raya, hal ini kerana hanya masa inilah kami semua adik-beradik berkumpul setelah masing-masing sibuk dengan urusan kerja,” katanya yang meminati hidangan lemang buatan ibunya sempena aidilfitri.

Achey menambah, dia akan menghabiskan masa seminggu untuk berhari raya di Johor sebelum pulang ke Kuala Lumpur dan masa tersebut digunakan sepenuhnya untuk mengunjungi sanak saudaranya.

“Selalunya saya akan menghabiskan masa di sana sepanjang Syawal untuk berkunjung ke rumah sanak saudara sehinggalah kuih dan rendang habis,” ujarnya berseloroh.

Roti Pizza

Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, Achey berkata, dia kini sedang sibuk mempromosikan perniagaan rotinya bersama rakan kongsinya, Harun Salim Bachik

“Alhamdulillah, permintaan roti itu sangat menggalakkan walaupun ia masih baru dilancarkan pada 5 Julai lalu. Roti tersebut bukan roti biasa, tetapi roti yang mempunyai inti berbagai-bagai termasuk daging dan juga ayam.

“Perniagaan ini dilakukan berdasarkan nasihat daripada orang yang berpengalaman dalam industri ini termasuk, Ebby Yus dan Harun. Mereka menasihatkan supaya saya mempunyai perniagaan sebagai tambahan pendapatan sekiranya peluang dalam bidang seni sudah kurang nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, daripada segi perkembangan seni pula, Achey kini baru sahaja melancarkan single terbaharu bersama kumpulan 4U2C. Selain Achey, anggota baharu grup yang kini mahu dieja sebagai ForUtoC yang terdiri daripada Shuib daripada Sepahtu, Rahim R2, Abam, Fard dan Achey daripada kumpulan Bocey dan Ajak Shiro.

“Ia merupakan sebuah projek penjenamaan semula kumpulan yang pernah gah satu ketika dahulu pada era 90-an. Idea asalnya merupakan daripada Datuk Ac Mizal sendiri.

“Setakat ini kami telah memberi nafas baharu kepada beberapa lagu hit kumpulan itu termasuk Fiona dan Gema Takbir Di Pagi Raya,” katanya