Ambil masa sehari proses serunding

SEBANYAK 160kg serunding daging dihasilkan pada bulan Ramadan berbanding 120kg pada hari-hari biasa.


SAMBIL membuka bicara, tangan wanita ini tidak henti-henti mencedok serunding daging ke dalam plastik bungkusan makanan.

Satu persatu bungkusan itu diikat dengan teliti bagi memenuhi permintaan tempahan yang tinggi pada bulan Ramadan lalu.

Sesekali, Robaniyah Adawiyah Abdullah mengesat peluh di dahi sambil menimbang bungkusan serunding agar menepati berat yang diingini para pelanggan.

Pada usia 30 tahun, pemilik HLP Maju Enterprise ini boleh berasa bangga kerana usaha selama lima tahun mula membuahkan hasil apabila serunding yang diusahakannya mula mendapat tempat di hati penggemar makanan tradisi Melayu.

Bahkan, bukan mudah bagi ibu kepada lima anak ini mengecapi kejayaan dalam mengusahakan serunding buatan Terengganu itu.

Robaniyah Adawiyah pernah hampir berputus asa dalam mengusahakan perniagaan serunding berkenaan pada dua tahun pertama.

Dia menambah, kesukaran yang dialami termasuk tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan masalah kewangan.

"Saya memulakan perniagaan ini bermodalkan RM15,000 dan memerlukan masa yang lama dalam memastikan rasa serunding ini enak dan menepati selera para pelanggan," katanya.

Dia yang ditemui di kilangnya di Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini memberitahu, peringkat awal perniagaan dilaksanakan di sebuah bengkel kecil di belakang rumahnya.

"Saya sangat berterima kasih kepada Bank Rakyat kerana membantu meluluskan pinjaman sebanyak RM80,000, sekali gus membakar semangat dalam mengusahakan perniagaan sungguhpun berhadapan dengan pelbagai kesukaran," ujarnya.

Pada mulanya, wanita yang menjalankan perniagaan serunding Kelantan di Pasar Payang, Kuala Terengganu ini memberitahu, dia ingin mengusahakan produk sendiri setelah mendapat permintaan yang tinggi.

Dia yang merupakan usahawan bimbingan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu turut berdepan masalah dalam menyakinkan pelanggan bahawa serunding yang diusahakannya merupakan dari negeri berkenaan.

Ini kerana serunding Kelantan sangat terkenal dan pelanggan tidak mempercayai bahawa produknya itu adalah hasil negeri Terengganu.

"Bagaimanapun, usaha berterusan yang dilakukan menampakkan hasil apabila produk ini mula mendapat tempat di hati penggemar serunding.

"Ada juga para pelanggan yang datang sendiri ke kilang untuk mendapatkan produk ini, sekali gus menyakinkan mereka bahawa negeri Terengganu juga menghasilkan serunding yang enak," katanya.

Ditanya mengenai perbezaan ketara serunding Terengganu dan Kelantan, dia memberitahu, keistimewaan serunding buatannya adalah ia lebih pedas berbanding serunding Kelantan.

Katanya, dia mendapat maklum balas positif daripada pelanggan yang lebih menggemari serunding yang lebih pedas.

Paling sibuk


ANTARA ramuan yang digunakan untuk menghasilkan serunding halia, bawang merah dan santan.


Dalam pada itu, Robaniyah Adawiyah menjelaskan, bulan Ramadan merupakan bulan paling sibuk sepanjang tahun dalam pembikinan serunding.

"Pada bulan Ramadan saya akan menghasilkan kira-kira 160 kilogram (kg) serunding setiap hari berbanding hanya 120kg pada hari-hari biasa.

"Pada bulan Ramadan memang tidak menang tangan menyediakan serunding ini tetapi saya masih cuba memenuhi permintaan para pelanggan," katanya.

Wanita ini menambah, dia menghasilkan empat jenis serunding iaitu daging tempatan, daging import, ayam dan ikan.

Katanya, dia menjual serunding pada harga RM60 satu kg untuk daging tempatan manakala daging import pula RM50.

"Serunding ayam saya jual mengikut harga pasaran iaitu RM60 satu kg, sementara RM40 bagi serunding ikan.

"Proses menghasilkan serunding juga agak rumit dan mengambil masa seharian," ujarnya.

Sementara itu, suaminya, Mohd. Fairul Mamat, 28, memberitahu, dalam pembikinan serunding daging lembu mempunyai beberapa peringkat.

Pada peringkat pertama, daging direndam dan dibersihkan sebelum lemak dibuang. Selepas itu daging tersebut dicuci antara tiga hingga empat kali.

"Selepas itu, kita akan merebus daging ini antara lima hingga enam jam dalam air mendidih yang dicampur garam," ujarnya.

Selepas daging kering, Mohd. Fairul memberitahu, daging berkenaan akan diketuk sebelum disiat menjadikan saiznya lebih kecil-kecil dengan tangan.

Mereka tidak menggunakan pisau untuk memotong daging berkenaan, sebaliknya menyiat secara manual bagi menjaga kualitinya.

"Selepas proses menyiat daging selesai, daging itu akan dimasak di dalam kuali besar," katanya.

Abangnya, Saiful Mamat, 30, pula memberitahu, proses memasak memakan masa yang agak lama dan perlu penelitian.

Tenaga kerja

Ia memakan masa antara dua hingga tiga jam untuk masak sepenuhnya.

"Kita perlu sentiasa mencarik daging-daging tersebut agar ia tidak melekat sehinggalah ia kering.

"Dalam masa dua hingga tiga jam itu, pemantauan berterusan perlu dibuat agar serunding masak dengan sempurna," ujarnya.

Sementara itu, Robaniyah Adawiyah menambah, sebanyak 30 kawah digunakan dalam menghasilkan serunding buatan Terengganu itu. Kerja-kerja penyediaan melibatkan lapan orang tenaga kerja.

Antara ramuan lain yang dicampur dalam menghasilkan serunding ialah rempah ratus, santan, cili merah, bawang merah, halia dan sebagainya.

Berbeza dengan serunding daging, pembikinan serunding ayam dan ikan hanya mengambil masa antara dua hingga tiga jam.

"Selepas selesai proses memasak barulah saya membungkus serunding-serunding tersebut untuk dipasarkan kepada peniaga dan para pelanggan.

"Walaupun saya menjual serunding berkenaan di Pasar Besar Payang ada juga pelanggan dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura yang membeli produk ini," katanya.

Melihat kepada permintaan tersebut, usahawan tersebut berharap dapat mengembangkan pasaran produk berkenaan ke seluruh negara suatu hari nanti.

Dia berharap impian itu tercapai jika mendapat bantuan menyiapkan kilang miliknya.

Sementara itu, seorang pelanggan serunding Terengganu, Yusof Mohd. Ali, 34, memberitahu, dia menggemari produk berkenaan kerana rasanya yang pedas.

"Selain itu, serunding daging tempatan mempunyai rasa daging segar dan sedikit manis.

"Saya akan mendapatkan produk ini pada bulan Ramadan untuk dinikmati semasa berbuka atau sahur," katanya.

Sharifah Adawiyah Syed Ahmad, 32, pula menambah, dia yang bekerja di Kota Kinabalu, Sabah menjelaskan, dia ingin menikmati kelainan apabila membeli produk serunding Terengganu itu.

"Saya biasa membeli serunding Kelantan tetapi ingin mengubah selera rasa kali ini kerana serunding Terengganu lebih pedas," katanya.